
Sewaktu saya mula berguru dengan ‘guru politik’ saya dahulu, saya masih ingat lagi kata-kata beliau. “Ahli politik yang berguna ialah ahli politik yang berilmu, bukan bersentimen.”
Semakin hari semakin saya faham bahawa tidak perlu menjadi cerdik untuk menjadi ahli politik. Benda sekecil songkok pun boleh dipolitikkan.
Ini merujuk kepada keengganan ADUN Bentayan, Gwee Tong Hiang untuk memakai songkok. Lantas beliau diarahkan untuk keluar daripada Persidangan DUN Johor oleh Speaker Dewan.
Soalan saya mudah, apakah memakai songkok akan ‘hilang aqidah’ beliau sebagai orang Tionghua? Bukankah itu etika DUN, malah di Parlimen juga peraturan sama turut terpakai. Malah dalam pemahaman saya sendiri pun, songkok itu adalah pakaian tradisional orang Melayu, sama seperti cheongsam bagi orang Cina dan dothi bagi orang India.
Tidak ada nilai tinggi rendah keislaman seseorang bila memakai songkok, justeru prinsip sama juga untuk bangsa lain memakai songkok. Tak terusik ‘kecinaan’ seseorang apabila memakai songkok. Sama jugalah halnya sekiranya orang lelaki melayu memakai dothi ataupun kurta, tidak terjejas kemelayuaan dan keislamannya.
Asal sahaja pakaian itu sopan, menutup aurat, tidak apa yang menjadi masalah. Apatah lagi sarung kepala seperti songkok.
Justeru saya terus tertanya-tanya, dalam keadaan tiga ADUN DAP Johor yang lain tidak mempunyai masalah memakai pakaian rasmi tersebut, apa masalah dengan Gwee sebenarnya.
Memang benar, apalah sangat isu songkok ini. Tetapi apalah juga masalahnya sehingga susah sangatmenyarungkan songkok untuk satu sidang.
Di sini saya sanjung kebijaksanaan YB Teng Chang Kim yang dinobatkan Speaker DUN Selangor yang tidak mempunyai masalah memakai songkok sebagai menghormati aturan dewan. Demikian juga ADUN dan Ahli Parlimen DAP yang lain.
Dalam keadaan rakyat ligat menilai prestasi, ada pihak yang akan terus menyusup mencari salah.
Justeru, berhati-hatilah.