Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Merdeka, 1Malaysia dan Kepala Lembu

52 tahun merdeka bukanlah satu proses yang singkat. Ia telah menjalani satu proses yang panjang yang penuh rencam dan liku.

Tahun ini sambutan Kemerdekaan Malaysia dipaut dengan slogan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Harapan Perdana Menteri agar perpaduan menjadi asas kepada penyatuan kembali rakyat (di mana pecahnya sebelum ini?) ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu dan utuh.

52 tahun sewajarnya memaknakan perpaduan yang utuh melalui sistem politik, sosial dan ekonomi yang seimbang dan madani sifatnya. Kita tidak mendamba kesempurnaan mutlak, tetapi sepatutnya pada usia 52 tahun, kematangan itu wajar terserlah. Bukan lagi sikap dan budaya yang memualkan seolah-olah kita masih bertatih untuk melangkah ke hadapan.

Justeru adalah sangat malang jika kita meraikan kemerdekaan dengan countdown di sana sini tetapi dalam masa yang sama kita dipersembahkan dengan insiden ‘kepala lembu’ diarak sebagai tanda bantahan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang membantah keputusan kerajaan negeri Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 ke kawasan komuniti mereka.

Kemerdekaan negara tidak boleh menidakkan hak rakyat untuk berhimpun dan berarak untuk menyatakan bantahan, tetapi kemerdekaan negara juga sama sekali tidak boleh menghalalkan sebarang bentuk penghinaan dan celaan ke atas mana-mana ideologi dan agama.

Saya juga tidak tahu, mazhab mana di dalam ajaran Islam yang menghalalkan tindakan ini. Hatta Rasulullah SAW sendiri, tatkala jubah dan serban Baginda dibasahi darah akibat lontaran batu masyarakat Thaif, Baginda masih mendoakan kesejahteraan masyarakat Thaif agar dakwah Baginda diterima kelak.

Orang selalu berkata, merdekanya Malaysia inilah yang membolehkan kita melihat bangunan pencakar langit di sana sini, pembangunan tidak putus-putus dilaksanakan. Maka kita harus bersyukur dengan apa yang ada.

Tetapi perpaduan rakyat masih lagi lompong tanpa persefahaman jitu dan mantap. Demokrasi makin dilucut meski Perlembagaan menjunjung amalan demokrasi. Kalangan politikus masih berantakan di sana sini dek penangan kuasa dan pangkat, walhasil rakyat masih lagi ada yang terpinga-pinga menagih sesuap nasi di rancangan Bersamamu TV3.

Itu belum lagi kita membuka bicara soal kekangan ke atas rakyat yang mahu mengecap kebebasan berfikir. Usah sembang soal kebebasan berhimpun, kebebasan bersuara, atau kebebasan berpersatuan. Kalau komik seperti Gedung Kartun pun dilihat sebagai ancaman ke atas pihak tertentu, maka apalah lagi yang boleh kita sandarkan dengan nilai kemerdekaan ini. Nak ketawa pun tak boleh..Aduhai!

Terkadang benar juga kata Almarhum Dato’ Onn, merdekanya tanah air ini hanya kemerdekaan separuh masak…

Kita bisa melaung kalimah merdeka saat tibanya jam 12 malam tanggal 31 Ogos..
Kita mampu untuk mengibar Jalur Gemilang sepanjang bulan Ogos tanpa subsidi bendera..
Kita mampu menangisi filem 1957:Hati Malaya meskipun sejarah diputar belit hebat..
Tapi mampukah kita mengekalkan kemerdekaan ini dalam momentum yang tepat yang menjamin teguhnya perpaduan rakyat dan amalan demokrasi yang subur?

Di tangan kitalah kemerdekaan ini harus dimaknakan semula. Janganlah biarkan merdeka ini menjadi beras lembap, ditanak tak masak dijual tak laku.

Salam Kemerdekaan Ke-52.

Filed under: Catatan, Isu Semasa

Murid-Murid, Hari Ini Kita Belajar Menari dan Main Layang-layang!

Kalau cadangan Ketua Menteri Melaka agar permainan layang-layang dijadikan kokurikulum sekolah diterima pakai oleh Kementerian Pelajaran, saya berkemungkinan secara serius akan mempertimbangkan bakal anak-anak saya esok tidak akan dihantar ke sekolah kebangsaan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pelajaran menyatakan bahawa subjek akademik di sekolah rendah akan digugur dan diganti subjek baru seperti drama dan tarian.

Apa sebenarnya hala tuju sistem pendidikan kita? Apakah generasi masa depan sedang disediakan untuk menjadi seniman dan budayawan semata-mata?

Read the rest of this entry »

Filed under: Isu Semasa, Kritik

Nak Tangguh PLKN? Jadilah Selebriti!

Bukan sedikit ibu bapa yang sukar melepaskan anak mereka ke PLKN, kerana rentetan kes kematian pelatih PLKN yang saban tahun menghiasi dada-dada akhbar. Takdir Ilahi menentukan panjang pendek usia manusia, tetapi faktor keselamatan tidak boleh dikompromi dengan berserah kepada takdir semata-mata.

Saya teringat akan kes Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, yang pernah menggemparkan Malaysia apabila memilih untuk dipenjara kerana ‘keingkaran’ beliau menyertai PLKN. Kenapa beliau ingkar? Kerana bekerja mengambil upah membuat bendang secara harian untuk menanggung ibu dan dua adiknya. Menyertai PLKN beerti ibu ada adik-adiknya akan hilang tempat bergantung buat seketika.

Minggu lepas, selebriti remaja, Diana Danielle diberi penangguhan daripada menyertai PLKN kerana Diana terikat dengan kontrak penggambaran sebuah filem. Dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memberi pelepasan.

Antara Hafizal dan Diana, tiada beza. Keduanya mencari nafkah. Bezanya ialah populariti. Diana artis muda yang sedang meraih kejayaan, Hafizal hanya anak muda yang membanting tulang empat kerat mencari sesuap nasi untuk menyara ibu dan adik-adiknya.

Tetapi kenapa Hafizal tidak pernah ditimbang untuk diberi penangguhan yang sewajarnya oleh JLKN tatkala Mahkamah dikhabarkan bahawa beliau gagal menyertai PLKN kerana mencari nafkah?

Kenapa untuk Diana mudah tetapi tidak bagi Hafizal? Meskipun Hafizal hanya dipenjara sehari, tetapi itu cukup untuk memalitkan rekodnya.

Apakah menjadi artis atau selebriti, maka mudah untuk ‘lolos’ berbanding menjadi anak kampung yang pelajaran tidak tinggi dan tidak ada bakat atau rupa paras yang pan-asian?

Saya tiada jawapan. Hanya JLKN yang boleh beri jawapan.

Filed under: Isu Semasa, Kritik , ,

Ayuh Berbogel Secara Gerila!Haha!

Itulah yang terpacul di kepala saya tatkala membaca headline Sinar Harian semalam, apabila Presiden Reformis Ramlan Abu Bakar tekad mahu meneruskan demonstrasi bogel secara ’serang hendap’ ke atas MB Selangor.

Dan melalui laporan Malaysiakini, nampaknya Anwar Ibrahim juga menjadi sasaran ’serang hendap bogel’ mereka.

Tak tahulah nak cakap apa, tapi inilah akibatnya bila meletakkan emosi mendahului rasionaliti. Saya percaya mereka ada agama, tetapi tidak tahu apakah dalam berhadapan dengan isu-isu sebegini agama diletakkan di nombor sepuluh.

Read the rest of this entry »

Filed under: Isu Semasa, Kritik

Pelacuran Bahasa Melayu: Papan Tanda Atau PPSMI?

Apabila polemik papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang berlarutan beberapa ketika dulu, saya secara peribadi tidak ambil kisah. Pada saya, asalkan Bahasa Melayu tidak dimansuhkan terus, sudah memadai.

Jika saya ditanya apa solusinya, saya berpendapat, dalam apa keadaanpun Bahasa Melayu perlu jadi bahasa utama, dan saiznya mesti lebih besar daripada bahasa-bahasa lain.

Cuma saya kadang-kadang pelik, mereka yang terlalu ghairah memperjuangkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terus senyap sunyi apabila kerajaan bertindak meneruskan PPSMI.

Kalau mengambil kata-kata Profesor Emiritus Datuk Nik Safiah Karim, mereka yang senyap ini adalah ‘pengecut’ untuk mempertahankan Bahasa Melayu.

Papan tanda tidak melenyapkan ‘ketuanan’ Bahasa Melayu, tetapi PPSMI akan menghilangkan nilai akademik Bahasa Melayu yang makin terlacur dari semasa ke semasa.

Nah, sekarang mana lebih berat ‘dosa’nya?

p/s: sama-sama isi petisyen untuk menyokong bantahan PPSMI yang diusahakan oleh PKPIM di sini.

Filed under: Isu Semasa, Kritik

nahdah@twitter

  • RT @najwanhalimi: "Atas semangat tauhid, kita bersatu berjuang memerangi sebarang bentuk assabiyyah yakni fahaman kebangsaan sempit!" | 7 hours ago
  • Solat Sunat Eiduladha di Masjid Kampung Klang Gate http://myloc.me/1J41R | 7 hours ago
  • selesai mengunjungi ADUN Batu Caves di Pejabat Dun. | 1 week ago
  • pelik kenapa kematian Tawfiq Noorzan tidak diperjuangkan spt mereka perjuangkan keadilan utk Teoh Beng Hock.bukankah keduanya dizalimi? | 1 week ago
  • seisi Dewan terkedu apabila MP Permatang Pauh cabar agar beliau disiasat mengenai simpanan sulit RM3bil. Tak berani pula MP BN bangun. | 1 week ago

Add to Technorati Favorites

Statistik Blog

  • 119,174 kunjungan

Arkib