Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Shah Rukh Khan Bergelar Datuk!

Aduhai…Sewaktu menerima berita ini, saya cuma mampu ketawa besar. Harapnya ia cuma lelucon waktu tengahari, tetapi rupa-rupanya ia satu perkembangan yang sahih. Esok, aktor Bollywood tersohor, Shah Rukh Khan akan menerima Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk. Rujuk Berita Harian hari ini.

Sewaktu Nicol David dianugerahkan Datuk, saya masih boleh terima kerana beliau konsisten mengharumkan nama negara. Bila Lee Chong Wei menerima Datuk selepas tewas perlawanan akhir badminton perseorangan Olimpik, saya agak janggal kerana kalah pun (bukan sekadar kalah, tetapi kalah secara konsisten!) boleh dapat Datuk. Tetapi kalau semudah itu boleh dapat anugerah Datuk, apalah nak dihairankan dengan Shah Rukh Khan dapat Datuk!

Terfikir saya, apa jasa Shah Rukh Khan sehingga mahu dianugerahkan Datuk? Ramai pejuang negara di luar yang perlu dihargai sumbangan mereka, tetapi aktor Bollywood seorang ini juga yang jadi pilihan hati.

Di England, penganugerahan Darjah Kebesaran sangat terkawal, dan sesiapa yang memperoleh Darjah sangat dihormati. Tetapi senario tersebut berbeza di Malaysia. Saban tahun ribuan Datuk bakal ‘dilahirkan’.

Selepas ini, mungkinkah Amitabh Bachan bergelar Datuk Seri, Dhamendra bergelar Datuk Wira dan Salman Khan mendapat AMN?

Jangan terkejut kalau orang yang bergesel bahu dengan anda di Puduraya atau mana-mana stesen LRT nanti juga bergelar Datuk!

Filed under: Hiburan, Kritik

Malaysia Perlukan Sivaji?

Mood menulis sepanjang Ramadhan agak menurun sedikit. Mungkin benar teori Pak Rastom.

Hujung minggu dihabiskan dengan buku dan rehat di rumah. Dan rasanya sepanjang Ramadhan, baru malam semalam saya menonton televisyen.

Kebetulan saya menonton sebuah filem Hindi di saluran 108 Astro, filem yang ditayangkan ialah filem Nayak: The Real Hero. Lakonan Anil Kapoor, Rani Mukherji dan Amrish Puri. Klik pautan untuk membaca sinopsisnya.

Pengusaha filem Hindi dan Tamil memang idealistik, tetapi kebanyakan latar ceritanya adalah realiti di negara mereka, khususnya persoalan politik dan ekonomi.

Saya tidak teruja dengan gelek Hindi atau guling-guling di tengah padang dalam filem ini, tetapi jalan ceritanya sangat menarik walaupun tidak logik.

Kebetulan pula, heronya bernama Shivaji Rao. Mengingatkan saya kepada Filem Sivaji The Boss.

Dalam Sivaji The Boss, Sivaji digambarkan sebagai seorang teknokrat yang mahu membangunkan dua asas utama bagi rakyat miskin: universiti dan hospital percuma. Tetapi dihalang oleh taikun yang mengawal politik negara. Sivaji terpaksa berhadapan dengan amalan rasuah di semua peringkat untuk memastikan hospital dan universitinya dibina.

Cuma bezanya dalam Nayak, Shivaji adalah seorang wartawan, yang dicabar Ketua Menteri untuk menjawat jawatan itu dalam tempoh sehari untuk melakukan perubahan. Shivaji menerima cabaran tersebut.

Dan dalam tempoh 24 jam, yang dilakukan oleh Shivaji hanyalah satu: memecat dan mendakwa pegawai yang mengamalkan rasuah, daripada pengusaha barangan lusuh, pegawai daerah, doktor kerajaan, termasuklah Ketua Menteri yang mencabarnya sehari sebelum itu!

Sehari berlalu, Ketua Menteri yang didakwa Shivaji meluluskan ordinan untuk membatalkan semua pendakwaan yang dibuat dalam tempoh 24 jam Shivaji menjadi Ketua Menteri. Dan segalanya bermula dari saat itu.

Shivaji dan keluarganya diancam. Indimidasi berlaku setiap masa. Sehinggalah Shivaji nekad menjadi calon dalam pilihanraya. Populariti yang diraihnya dalam tempoh 24 jam beliau menjadi Ketua Menteri sebelum ini memudahkan Shivaji menang majoriti besar. Perubahan terus dilakukan di bawah pemerintahan Shivaji. Tetapi biasalah, kalau ada watak jahat, dah kalah pun akan kekal jahat. Keluarga Shivaji dibunuh dan Shivaji terpaksa berhadapan dengan pelbagai kemelut.

Menariknya, dalam kedua-dua filem ini, ada satu tagline yang menarik:

“kesalahan paling besar ialah berbuat baik kepada rakyat dan negara.”

Mungkin anda boleh tonton filem ini dan buat penilaian. Justeru saya tertanya, apakah kita juga memerlukan seseorang seperti Sivaji untuk Malaysia?

Filed under: Catatan, Hiburan, Politik

Kuota: Artis Tempatan Takut Bersaing?

Membaca berita Malaysiakini yang menyiarkan tentang kuota lagu Malaysia-Indonesia, saya setuju dengan kumpulan Meet Uncle Hussain yang berpendapat kuota 90:10 menjadikan “artis manja dan tidak produktif”. BOleh baca di sini.

Ini berikutan susulan daripada cadangan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk memperkenalkan kuota itu untuk menyelamatkan industri seni suara tanah air.

Saya bukan minat sangat dengan Meet Uncle Hussain ni, tetapi pandangan bernas itu saya persetujui sepenuhnya.

Suka saya bertanyakan kepada mana-mana peminat seni suara tanah air. Kita perlu ikhlas menjawab,tak perlu berpolitik berlebih-lebihan.

Apa punca lagu tempatan kurang mendapat sambutan berbanding lagu Indonesia?

Kenapa masyarakat masih tegar membeli album cetak rompak walaupun kempen ‘Beli Yang Ori’ giat dilaksanakan kerajaan?

Jawapannya mudah. kerana lagu artis tempatan majoritinya tak sedap.

Kerana lagu tempatan tak sedaplah, maka masyarakat lebih cenderung untuk mendengar lagu Indonesia yang lebih segar.

Kerana lagu tempatan tak sedaplah, maka masyarakat merasakan sangat tidak berbaloi untuk membelanjakan puluhan ringgit untuk beli sekeping cakera padat artis Malaysia yang hanya ada 2-3 lagu yang ‘boleh didengar’, sedangkan 8 buah lagi ‘pedih luka jiwa merana’ bunyinya!

Jujurnya, sepanjang perjalanan pergi dan balik dari pejabat, saya akan mendengar radio. Saya berani katakan yang hampir 60% lagu melayu yang disiarkan adalah lagu luar, bukan lagu melayu tempatan. Kadang-kadang rasa pelik, apa sudah kurangkah lagu tempatan hendak dimainkan? Tetapi saya perlu bersandar kepada realiti.

Artis kita lebih mudah popular kerana gosip, bukan kerana kualiti lagu. belum keluar album/filem,sudah bertebaran gosip. baru lahir satu album, demand mengalahkan diva. kualiti lagu, kadang kala sampai ke satu tahap susah hendak didengar radio kerana ketidakpopularannya. sampai ke situ tahapnya!

Tolak ke tepi peminat tegar dan fanatik Siti Nurhaliza, Mawi, M Nasir.Kelompok ini memang akan tegar membeli yang ori. Dan perlu diakui, lagu-lagi mereka berada dalam kelas yang tersendiri.

Jangan kita bersikap hipokrit. Tanya mana-mana pembeli album artis tempatan, jawapan ini akan diperoleh.

Justeru, pada saya mewujudkan kuota ini memang akan menjadikan artis tempatan manja dan tidak produktif.

Sebab? Mereka tak perlukan lagu yang berkualiti, mereka hanya perlu penuhi kuota yang disediakan. Lagu hancur tak apa, asal masuk radio!

Performance ‘munafik’ (kata Bob Lokman) pun tak kisah, yang penting show jalan.

Jangan salahkan radio apabila lagu artis tempatan kurang disiarkan. Radio swasta fokusnya ialah rating. Rating hanya akan ditingkatkan apabila ramai yang dengar stesen radio tersebut. dan hakikatnya kini kalau mahu ramai pendengar, stesen radio perlu memutarkan lagu yang menepati selera pendengar.

Apabila panel juri Anugerah Juara Lagu tahun lepas menobatkan Estranged sebagai Juara Lagu melalui lagu Itu Kamu, hujah mereka mudah dan terang. Lagu Itu Kamu dipilih kerana iramanya segar dan sebagai satu bentuk encouragement kepada band-band indie untuk berkarya.

kita perlu berbalik kepada kuasa peminat. ini demokrasi hiburan. kenapa sekarang band-band indie lebih mendapat tempat sama seperti band Indonesia?

ini kerana irama segar yang mereka bawa lebih sesuai dengan selera majoriti pendengar zaman sekarang.

Kuota yang dicadangkan ini, pada saya, hanya bertujuan untuk memperbodohkan pendengar dan peminat hiburan tanah air.

Seolah-olah peminat ini perlu dipasung pemikiran mereka untuk mendengar lagu-lagu, filem-filem yang mereka tidak gemar. Apakah peminat hiburan tanah air sedangkal itu pemikiran mereka untuk dibentuk acuan minat mereka?

Persoalan bahawa lagu-lagu Indonesia boleh membunuh lagu-lagu tempatan adalah hujah yang membuktikan bahawa irama seni tanah air akan terus berada di takuk lama.

jika khuatir terbunuh ,maka strategi perlu diubah. irama lagu tempatan perlu lebih segar dan sesuai dengan masa.

tidak perlu untuk wujudkan kuota. sampai bila kita hendak menggunakan kuota untuk melindungi kegagalan kita,sedangkan kita masih benak tidak mahu berubah dan beranjak?

tuntasnya Malaysia perlu ada lebih ramai karyawan seperti Allahyarham Loloq, M. Nasir, Ajai, dan lain-lain karyawan. Kita perlukan artis yang kreatif seperti KRUrakyat Malaysia sudah mangli dengan irama melankolik dan leleh yang berlebihan.

industri hiburan kita akan mati, kalau tiada anjakan paradigma di kalangan penggiat seni tanah air.

cara hendak menyelamatkan industri hiburan tanah air,ialah dengan keberanian untuk berubah.

peminat mahukan sesuatu yang segar,bukan lagi lelehan lirik syahdu yang merayu ‘aku cinta kamu, kamu cinta aku’ dari awal sehingga habis lagu.

betul kata sahabat saya, sejak Allahyarham Loloq meninggal, apakah mungkin kita perlu menunggu 100 tahun lagi untuk hadir seorang karyawan kreatif seperti Allahyarham untuk menyerikan industri hiburan tanah air?

Filed under: Hiburan, Kritik

P Ramlee The Musical

PRTM

Semalam saya ke Istana Budaya menonton persembahan teater P Ramlee The Musical [PRTM], buat kali kedua.

Saya bukan peminat teater. Tetapi saya membesar dengan filem-filem P Ramlee. Boleh saja saya hafal skrip-skrip filem-filem P Ramlee sehingga kini. Dan takkan hilang tawa setiap kali menonton Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok walaupun berulang kali. Sebak sudah pasti tatkala menonton Ibu Mertuaku, dan saya takkan lupa Antara Dua Darjat yang sarat dengan elemen kritik sosial.

Ini membuatkan saya tertarik untuk menonton teater ini, pastinya pertama kali dalam hidup saya.

Sebetulnya saya sudah pun menonton teater ini November lepas. Siri pertama dibintangi oleh Sean Ghazi sebagai P Ramlee, dan penampilan khas (satu babak saja!) Datuk Siti Nurhaliza sebagai Azizah. Pelakon lain-lain dikekalkan dalam PRTM-2.

Saya memang tertarik untuk menonton PRTM-2, tetapi disebabkan beberapa perbelanjaan luar jangka, ditambah dengan harga minyak yang naik mendadak tanpa belas kasihan, pastinya sebagai rakyat marhaen saya terkesan dan berkira-kira untuk membelanjakan puluhan ringgit untuk menyaksikan teater ini.

Mungkin langitku lebih biru, kata Mawi. Seorang rakan pendebat lama yang kini bekerja di Astro menawarkan saya tiket percuma untuk menonton. Percuma? Itu bukan datang selalu. Pastinya saya sambar peluang ini. Dan alhamdulillah kami bertemu semalam dan menonton teater, walaupun tabiat ‘gila debat’ antara kami terus ‘hidup’ dan pastinya berkisar soal kenaikan harga petrol!

Ramai orang dan media membuat ulasan yang PRTM-2 kali ini lebih ‘hidup’ dengan teraju utama baru, Musly Ramlee.

Jalan cerita juga ada perubahan berbanding PRTM-1. Babak yang melibatkan Azizah (kini dilakonkan oleh Emelda Rosmila) lebih panjang berbanding lakonan Datuk Siti dulu (mungkin mahal sangat nak bayar kalau banyak babak). Lebih banyak babak yang menceritakan peralihan fasa hidup P Ramlee lewat tiga perkahwinan Allahyarham.

Jalan ceritanya diulas secara ringkas oleh Najwan yang kebetulan menonton Selasa lepas. Justeru boleh baca di situ saja :)

Secara peribadi, jalan cerita PRTM-2 lebih baik, lebih banyak unsur humor yang menggambarkan ciri-ciri P Ramlee. Pembawakan watak P Ramlee oleh Musly jauh lebih baik berbanding Sean Ghazi. Tetapi bila datang bab nyanyian, konsistensi Sean Ghazi lebih baik pada saya. Kerana adakalanya akan kedengaran Musly seolah-olah membuat-buat suara P Ramlee, dan paling ketara berbeza bila Musly mendendangkan lagu Hujan Di Tengahari sewaktu not tinggi, hilang ke-P.Ramlee-annya. Pun begitu, Musly boleh dikatakan berjaya berbanding Sean Ghazi.

Watak Azizah yang dibawa oleh Emelda juga baik jika dibandingkan dengan Datuk Siti. dan Emelda ada bakat menyanyi. Tetapi nyanyian Datuk Siti lebih
Pembawakan cerita menarik dengan susunan lagu dan peralihan satu babak ke satu babak. Ini elemen-elemen yang membuatkan teater ini menarik. Penghayatan lakonan Melissa Saila, Atilia, dan Liza Hanim sangat memberangsangkan. Cuma pada saya, yang mungkin ramai tidak perasan, ialah watak S. Sudarmaji, penolong pengarah di Malays Film Production di Studio Jalan Ampas. Sangat real dan betul-betul hidup!

Apapun, yang penting ialah tribute kepada P Ramlee. Allahyarham sememangnya seorang seniman yang tiada galang ganti. Filem-filem beliau tidak memerlukan dedah sana dedah sini, tetapi tetap sarat dengan nilai moral, kritik sosial, dan juga satira politik yang sangat mendalam.

Tidak akan lahir seorang lagi P Ramlee..Itu sangat pasti.

Al fatihah…

Filed under: Catatan, Hiburan , ,

Beranikah Artis Pamer Sokongan Terbuka Kepada Pembangkang?

Membaca laporan Malaysiakini 3 hari lepas, saya sekadar senyum sinis sahaja. Sedikit sorotan berita tersebut diturunkan:

Pelakon, pelawak bersama BN
Feb 25, 08 10:58pm
Kedua-duanya bernama Aziz, kedua-duanya bergelar Datuk. Seorang pelakon dan pelawak veteran manakala seorang lagi calon Barisan Nasional.

Mereka adalah Aziz Sattar dan Aziz Sheikh Fadzir.

Aziz, 81, mahu membantu Aziz berkempen di kerusi parlimen Kulim/Bandar Bharu kerana terhutang budi kepada abangnya, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Ahmad.

Abdul Kadir juga penyandang kerusi itu untuk beberapa penggal.

“Sebagai rakyat negara ini yang cintakan keamanan saya sokong BN kerana itu saya telah berada di Serdang selama empat hari untuk membantu calon BN Datuk Aziz Sheikh Fadzir,” katanya.

Dalam amalan demokrasi, tidak ada masalah untuk menyokong mana-mana parti atau calon, asal saja mereka ada kepercayaan kepada calon dan parti yang disokong, itu sudah memadai. Tetapi ‘demokrasi’ dalam konteks ini pincang di Malaysia.

Di Amerika Syarikat, golongan artis mempunyai hak menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana ahli politik, tanpa mengira mereka pemerintah atau pembangkang. Di Amerika, ikon pengacaraan TV, Oprah Winfrey secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon Demokrat, Barack Obama.

Bukan sahaja Oprah, malah George Clooney, Matt Damon, Ben Afleck, Sharon Stone dan lain-lain selebriti terkemuka Amerika menyatakan sokongan kepada Obama. Laman web ini menjadi bukti.

Demikian juga halnya dengan Rajnikanth, superstar Tamil Nadu yang acapkali mengambil pendirian berbeza pendapat dengan pemerintah Tamil Nadu, dengan menyatakan sokongan kepada pakatan Dravida Munnetra Kazhagam-Tamil Manilla Congress [DMK-TMC] pada era 90-an.

Tetapi di Malaysia, sokong pembangkang adalah bahana buat artis. Lihat sahaja Helmi The Gimmick. Dahulu mukanya terpampang dalam video Laungan Reformasi dengan menjeritkan ‘Get lost Mahathir!’, tetapi apabila dilaporkan media, terus terkedu itik menafikan.

Amy Search sebelum ini dikhabarkan diziarahi oleh pimpinan pemuda PAS Pusat,sebagaimana yang saya baca di blog anak Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Nik Abduh. Tetapi bila dicium media, maka mulalah Melodi menghangatkan keadaan dengan menghantar Michelle menemuramah Amy, kononnya menanyakan benarkah Amy kini bergiat dalam politik ekstrem. Masya-Allah! terima tetamu pun ekstrem!??

Sama juga halnya dengan Mawi. Satu Malaysia tahu sewaktu Mawi ‘diterjah’ Astro semasa mula-mula AF3 disiarkan, poster Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang tergantung di satu sudut rumahnya. Tetapi lawatan kedua dibuat selepas Mawi menang, tak ada pula poster tersebut.

Tetapi saya puji profesionalisme Mawi kerana sewaktu ‘diperangkap’ untuk menyertai Putera Umno dahulu, Mawi mengatakan ’saya neutral’. Beliau juga berani untuk tampil dalam Konsert Tautan Kasih anjuran kerajaan PAS Negeri Kelantan beberapa tahun dahulu. Alhamdulillah rezeki Mawi berlimpah ruah, tidak pula disekat.

Artis blues Malaysia, Ito Blues Gang antara sekerat dua artis yang menyatakan sokongan kepada pembangkang. Sekarang pun tak dengar cerita.

Lain pula halnya dengan Maya Karin. Beliau tidak ada dosa pun, tetapi menjadi panel dalam Forum anjuran Kerajaan Negeri Kelantan menyebabkan imejnya tercalit ‘dosa’ di mata pemerintah. Apa yang berlaku kemudian, Maya tidak dipanggil untuk menyertai roadtour 1957: Hati Malaya yang kebetulan Maya menjadi antara pelakon utamanya. Kononnya Maya ada agenda politik. Demikianlah sempit politik Malaysia.

Pada saya, sokonglah parti mana-mana pun. Tetapi apabila ada yang menyokong selain daripada yang dominan, janganlah disekat dan diancam.Itu bukan demokrasi kita (haha..pinjam Suhaimi Meor Hassan punya lagu!).

Saya tertunggu-tunggu juga, adakah artis tempatan yang akan secara terbuka menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim ataupun Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Ataupun lebih kritis, menyatakan sokongan dan kempen terbuka untuk mana-mana parti pembangkang.

Filed under: Analisa, Hiburan, Kritik, Politik

nahdah@twitter

  • selesai mengunjungi ADUN Batu Caves di Pejabat Dun. | 3 days ago
  • pelik kenapa kematian Tawfiq Noorzan tidak diperjuangkan spt mereka perjuangkan keadilan utk Teoh Beng Hock.bukankah keduanya dizalimi? | 6 days ago
  • seisi Dewan terkedu apabila MP Permatang Pauh cabar agar beliau disiasat mengenai simpanan sulit RM3bil. Tak berani pula MP BN bangun. | 1 week ago
  • TPM hina Undang-undang Tubuh Negeri Kedah! http://bit.ly/2CxYrF | 1 week ago
  • merasakan kekalahan Kelantan tertebus dgn kekalahan Man Utd pagi tadi. :) | 2 weeks ago

Add to Technorati Favorites

Statistik Blog

  • 119,044 kunjungan

Arkib