52 tahun merdeka bukanlah satu proses yang singkat. Ia telah menjalani satu proses yang panjang yang penuh rencam dan liku.
Tahun ini sambutan Kemerdekaan Malaysia dipaut dengan slogan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Harapan Perdana Menteri agar perpaduan menjadi asas kepada penyatuan kembali rakyat (di mana pecahnya sebelum ini?) ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu dan utuh.
52 tahun sewajarnya memaknakan perpaduan yang utuh melalui sistem politik, sosial dan ekonomi yang seimbang dan madani sifatnya. Kita tidak mendamba kesempurnaan mutlak, tetapi sepatutnya pada usia 52 tahun, kematangan itu wajar terserlah. Bukan lagi sikap dan budaya yang memualkan seolah-olah kita masih bertatih untuk melangkah ke hadapan.
Justeru adalah sangat malang jika kita meraikan kemerdekaan dengan countdown di sana sini tetapi dalam masa yang sama kita dipersembahkan dengan insiden ‘kepala lembu’ diarak sebagai tanda bantahan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang membantah keputusan kerajaan negeri Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 ke kawasan komuniti mereka.
Kemerdekaan negara tidak boleh menidakkan hak rakyat untuk berhimpun dan berarak untuk menyatakan bantahan, tetapi kemerdekaan negara juga sama sekali tidak boleh menghalalkan sebarang bentuk penghinaan dan celaan ke atas mana-mana ideologi dan agama.
Saya juga tidak tahu, mazhab mana di dalam ajaran Islam yang menghalalkan tindakan ini. Hatta Rasulullah SAW sendiri, tatkala jubah dan serban Baginda dibasahi darah akibat lontaran batu masyarakat Thaif, Baginda masih mendoakan kesejahteraan masyarakat Thaif agar dakwah Baginda diterima kelak.
Orang selalu berkata, merdekanya Malaysia inilah yang membolehkan kita melihat bangunan pencakar langit di sana sini, pembangunan tidak putus-putus dilaksanakan. Maka kita harus bersyukur dengan apa yang ada.
Tetapi perpaduan rakyat masih lagi lompong tanpa persefahaman jitu dan mantap. Demokrasi makin dilucut meski Perlembagaan menjunjung amalan demokrasi. Kalangan politikus masih berantakan di sana sini dek penangan kuasa dan pangkat, walhasil rakyat masih lagi ada yang terpinga-pinga menagih sesuap nasi di rancangan Bersamamu TV3.
Itu belum lagi kita membuka bicara soal kekangan ke atas rakyat yang mahu mengecap kebebasan berfikir. Usah sembang soal kebebasan berhimpun, kebebasan bersuara, atau kebebasan berpersatuan. Kalau komik seperti Gedung Kartun pun dilihat sebagai ancaman ke atas pihak tertentu, maka apalah lagi yang boleh kita sandarkan dengan nilai kemerdekaan ini. Nak ketawa pun tak boleh..Aduhai!
Terkadang benar juga kata Almarhum Dato’ Onn, merdekanya tanah air ini hanya kemerdekaan separuh masak…
Kita bisa melaung kalimah merdeka saat tibanya jam 12 malam tanggal 31 Ogos..
Kita mampu untuk mengibar Jalur Gemilang sepanjang bulan Ogos tanpa subsidi bendera..
Kita mampu menangisi filem 1957:Hati Malaya meskipun sejarah diputar belit hebat..
Tapi mampukah kita mengekalkan kemerdekaan ini dalam momentum yang tepat yang menjamin teguhnya perpaduan rakyat dan amalan demokrasi yang subur?
Di tangan kitalah kemerdekaan ini harus dimaknakan semula. Janganlah biarkan merdeka ini menjadi beras lembap, ditanak tak masak dijual tak laku.
Salam Kemerdekaan Ke-52.
Filed under: Catatan, Isu Semasa




Komen Terkini