Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Penanti: Muhasabah Buat PKR

Pastinya pengumuman SPR hari ini mengenai tarikh Pilihanraya Kecil DUN Penanti menamatkan pelbagai spekulasi yang berlegar-legar baik di kedai kopi mahupun ruang maya.

Semenjak 8 Mac 2008, ini merupakan PRK yang keenam yang mengisi rentetan aktiviti politik negara. Sebermula Permatang Pauh, disusuli Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, banyaklah pertikaian yang timbul konon PRK ini hanyalah membuang wang rakyat. Mungkin bidaan pemutar skru yang mencecah ribuan ringgit, atau pembelian kapal selam yang berharga berbillion ringgit itu bukan pembaziran.

Saya suka melihat sudut sisi PRK ini dalam konteks PKR sebagai parti peneraju Pakatan Rakyat.

Ketepikan seketika persoalan samada BN mahu meletakkan calon atau tidak di dalam PRK akan datang ini. Yang penting amalan demokrasi perlu terus berjalan dan rakyat berhak diberi pilihan dan membuat pilihan.

Tidak boleh tidak, rakyat kini dalam proses penilaian ke atas semua jenis parti politik yang wujud di bumi Malaysia ini. Baik Umno dan komponen BN lainnya, tidak terkecuali jugalah PKR, PAS mahupun DAP akan terus diperhati dengan teliti oleh rakyat.

Penanti, adalah merupakan kerusi ketiga yang ‘dipertaruhkan’ oleh PKR melalui peletakan jawatan penyandangnya sehingga membawa kepada Pilihanraya Kecil. Sebelum ini Dr Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai MP Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding seterusnya memimpin Pakatan Rakyat di Parlimen.

Kemudiannya di Bukit Selambau, V Arumugam meletakkan jawatan berikutan siri ugutan yang menghambat beliau yang sehingga kini tidak tahu samada disiasat pihak berkuasa atau tidak.

Dan kini di Penanti, penyandangnya Mohd Fairus Khairuddin meletakkan jawatan berikutan beberapa kes rasuah yang memalitkan imej beliau. Terdahulu beberapa isu turut dikaitkan dengan beliau dan kepimpinan PKR Pulau Pinang yang akhirnya membawa kepada penyingkiran beliau di dalam kepimpinan PKR Pulau Pinang dan portfolio kanan dalam barisan Exco Pulau Pinang.

Kes di Penanti, pada hemat saya, sebenarnya sedikit sebanyak merencatkan keghairahan rakyat kepada PKR. Apatah lagi selepas apa yang berlaku di Perak, yang menyaksikan bagai PKR dipermainkan oleh bekas posmen dan askar pencen, dan juga ADUN Umno-BN DUN Bota yang keluar-masuk PKR semudah menukar baju. Ini akhirnya membawa kepada keruntuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Betul, bukanlah faktor ‘lompat’ sahaja yang menjatuhkan Kerajaan PR Perak, banyak lagi faktor lain. Tetapi kegagalan PKR mengawal ‘keghairahan’ ADUN-ADUNnya itulah yang menjadi pencetus.

Di peringkat awal penubuhan Kerajaan PR Perak pun masalah timbul kerana ADUN bekas posmen beria-ria mahukan jawatan Menteri Besar, meskipun tidak direstui Paduka Sultan Perak. Masalah timbul kerana kelayakan ADUN-ADUN PKR tidak menepati kapasiti yang perlu ada pada susuk tubuh seorang Menteri Besar. Alhamdulillah kebijaksanaan kepimpinan PR akhirnya menabalkan Ir. Hj Mohd Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang akan diangkat sebagai MB paling popular dalam sejarah politik Perak.

Sama jugalah halnya dengan di Kedah, apabila ada ADUN-ADUN PKR yang terpaksa dikawal siang malam untuk mengelakkan mereka ‘dibeli’ oleh pihak-pihak tertentu.

Di Selangor, alhamdulillah ADUN PKR tidak mendatangkan masalah kecuali pada satu ketika ADUN Perlabuhan Klang dilaporkan hilang dan berpotensi untuk dibeli. Syukur ianya sekadar desas-desus.

Rentetan kes yang membabitkan PKR ini pastinya memberi kesan ke atas persepsi rakyat ke atasnya. Ini pastinya bukan sesuatu yang menarik untuk didengar, dalam keadaan PKR mempunyai ‘Anwar Ibrahim’ sebagai pemimpinnya.

Apakah PKR hanya perlu bersandar pada ‘aura Anwar Ibrahim’ semata-mata untuk terus menang dalam PRU atau PRK akan datang? Apakah sikap dan mentaliti MP-MP atau ADUN-ADUN PKR tidak akan dijadikan saham untuk rakyat melakukan vote review dalam PRK atau PRU akan datang?

PKR, dan parti-parti Pakatan yang lain tidak menang PRU-12 kerana mereka kuat, sebaliknya kerana sentimen penolakan ke atas BN yang terlalu kuat itu yang akhirnya membawa Pakatan memenuhi lebih daripada 1/3 kerusi di Dewan Rakyat.

Mungkin kemenangan 4-0 di  Semenanjung dalam siri PRK yang telah berlalu sedikit sebanyak membuai PKR  dengan dodoi ‘rakyat terus menyokong kita’. Tetapi dalam keadaan ekonomi terus parah, politiking terus menggila, apakah dodoi itu akan kekal relevan kelak?

Pada hemat saya, sudah sampai masanya PKR melakukan reformasi dalaman agar imej PKR boleh digembleng ke satu tahap yang lebih ampuh. PKR perlu menetapkan satu ideologi dan disebar luas melalui satu sistem perkaderan yang mantap dan berkesan.

Sekadar mempunyai idea, dasar, agenda, gagasan, semua itu tidak cukup untuk meraih kepercayaan rakyat. PKR perlu mempunyai lebih daripada itu, yakni elemen 5P : Perlaksanaan, Penguatkuasaan, Pemantauan, Penambahbaikan, dan Pengekalan Kualiti.

Dan ini perlu ditekankan kepada semua kepimpinan PKR, baik yang bergelar YB ataupun di kalangan pimpinan Bahagian. Ramai yang bercakap bahawa pimpinan PKR tidak jauh berbeza dengan pimpinan parti pemerintah sebagaimana yang ada sekarang.

Jika ini berlaku maka kasihanlah batang tubuh Datuk Seri Anwar. Berbuih-buih berceramah seluruh pelusuk dunia mempertahankan peri penting akauntabiliti dan integriti, tetapi partinya sendiri gagal mencerminkan iltizamnya.

Saya beberapa kali pernah mengikuti Sidang Dewan Rakyat sedari tahun lepas, dan saya melihat sendiri bagaimana beberapa kalangan MP PKR (tidak kurang juga MP Pakatan yang lain) yang hanya duduk di VIP lounge menikmati teh tarik dan mee goreng sambil mengikuti sidang Dewan Rakyat melalui televisyen. Jika masuk ke Dewan pun hanya duduk belek buku, menelaah internet melalui laptop atau smartphone, kemudian berlalu pergi tanpa mengambil bahagian dalam Perbahasan.

Justeru, semua wakil rakyat PKR harus peka dengan keadaan ini. Rakyat menilai prestasi anda.

Anda menobatkan parti anda sebagai parti masa hadapan. Tetapi apakah masa hadapan itu mampu direalisasikan jika pengeraknya tidak ada inisiatif ke arah itu?

Entri kali ini, bisa saja mengguris hati teman-teman yang aktif mahupun yang menjadi pimpinan PKR masa kini. Tetapi percayalah, harapan dan perasaan rakyat bukan mainan lagi.

Filed under: Kritik, Politik

One Response

  1. anas berkata:

    Majlis Haul & Peringatan Tokoh-tokoh Ulama

    Tempat : Ribath Ba’Alawi & Masjid Kg. Kuala Tekal, Temerloh Pahang
    Tarikh : 2 Mei 2009 (SABTU)
    Masa : 5pm – 10.00pm
    ATURCARA MAJLIS:
    5.00PM Kehadiran tetamu
    Bacaan Yasin & Tahlil bimbangan Habib Ali bin Abu Bakar
    Ceramah 1 Maulana Jauhari
    Ceramah 2 Kiyai Syafie
    7.20PM Solat maghrib
    Mualid Dhia Lamik – Pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid
    Bacaan Manaqib Tokoh2 peringatan Ulama

    9.00PM Solat Isyak
    Ceramah 3 Habib Naqib bin Syeikh Abu Bakar
    Qasaid
    Ceramah Utama
    Kehadiran Tuan/puan amatlah dihargai

    http://pondokhabib.wordpress.com

Leave a Reply

Arkib