Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Apabila PPSMI Dikatakan ‘Tidak Gagal’…

Saya tidak pernah bersetuju dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimulakan pada tahun 2003. Pada saya, ia membunuh keupayaan anak-anak, khususnya anak-anak Melayu untuk menguasai ilmu sains dan matematik.

Kalangan saudara-mara, sahabat handai saya bukan sedikit yang berkerjaya sebagai guru. Dan mereka akui, bahawa penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar masih lemah untuk kita memahatkan Bahasa Inggeris sebagai pengantar sains dan matematik. Apa yang mengejutkan, masalah ini tidak sekadar berlaku di luar bandar atau kawasan pedalaman, sebaliknya turut berlaku di kalangan pelajar-pelajar di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Kata mereka, kadang-kala mereka cukup simpati melihat anak-anak bangsa terkial-kial memahami frasa yang sedia pelik dalam subjek matematik dan sains melalui bahasa Inggeris. Akhirnya, terpaksa juga diajar di dalam Bahasa Melayu, kerana yang paling penting ialah pelajar perlu semakin faham, bukan semakin bebal.

Justeru apabila Menteri Pelajaran dengan gah berkata bahawa PPSMI Tidak Gagal, maka saya tercari-cari ke manakah hala tuju anak bangsa di dalam sistem pendidikan negara.

Ukuran peningkatan prestasi pelajar-pelajar di dalam keputusan UPSR baru-baru ini juga tidak wajar dijadikan ukuran mutlak.

Benar, mungkin ada peningkatan keputusan. Tetapi saya mahu Kementerian Pelajaran mendedahkan kepada umum, berapakah markah minimum untuk lulus bagi kedua-dua subjek ini. Apakah 10%, 18%,20% ataupun 30% sudah cukup untuk lulus.

Dahulu, sewaktu saya di sekolah menengah, Matematik Tambahan adalah subjek yang paling menyakitkan jiwa. Mendapat 30% sudah dikirakan satu rahmat besar walaupun masih gagal. Dan ada pendedahan yang dibuat kalangan guru bahawa ‘kebiasaannya’ markah lulus untuk Matematik Tambahan ini ialah 20%. Maknanya 20% sudah cukup untuk dapat gred 7D, gred paling akhir untuk lulus. Saya tidak tahu akan kebenaran fakta ini, sebab itu saya kira penjelasan wajar diberi oleh pihak berwajib.

Bayangkan, itu dalam Bahasa Melayu. Bagaimana kalau dalam Bahasa Inggeris? Mungkinkah 15%, 10%, atau berkebarangkaliankah 5% sudah cukup untuk lulus??

Itu baru satu subjek. Bagaimana dengan Fizik, Kimia, Biologi, dan lain-lain?

Menteri juga dilaporkan berkata:

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata pada UPSR lalu, 57 peratus calon telah menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris dan ia membuktikan calon juga selesa untuk menggunakan bahasa tersebut dan ia merupakan satu kebanggaan kementerian.

Setelah 5 tahun dilaksanakan, hanya 57% sahaja yang menjawab dalam Bahasa Inggeris? Pada saya, kalau benar ia ‘tidak gagal’, sewajarnya 70% ke atas memilih untuk menjawab dalam Bahasa Inggeris.

Baik. 57% menjawab dalam Bahasa Inggeris, dianggarkan 43% menjawab dalam Bahasa Melayu. Kita andaikan ini sifirnya.

Saya mahu Kementerian Pelajaran sekali lagi mengeluarkan statistik, berapa ramai yang menjawab dalam Bahasa Inggeris itu lulus dan dapat Gred A, berapa ramai pula yang menjawab dalam Bahasa Melayu mendapat Gred A. Demikian juga yang gagal subjek sains dan matematik dalam klasifikasi kedua-dua Bahasa tersebut. Hasil daripada statistik ini, barulah boleh kita membuat kesimpulan.

Saya kira, usahlah kita berdegar-degar bercakap soal survival atau ketuanan melayu, kalau Bahasa Melayu yang menjadi identiti bangsa terus dilacur di bumi sendiri sehingga meninggalkan lompong yang besar di dalam kemajuan pendidikan anak bangsa kita.

Tulisan saya yang terdahulu mengenai topik yang sama:

Sokongan Buat Sains & Matematik Dalam Bahasa Melayu
Sejak Bila Bahasa Melayu Kelas Pertama
Sejak Bila Bahasa Melayu Kelas Pertama (2)

Filed under: Analisa Dasar, Kritik ,

17 Responses

  1. Hasbullah Pit berkata:

    Berjaya mana pun ia, ianya tetap membunuh istilah matematik dan sains Bahasa Melayu

  2. Shapiai berkata:

    Saya tidak bersetuju sama sekali kalau kita mengaitkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan untuk mempertahankan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan Sains. Persoalannya di sini ialah peminggiran Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu. Bagi anak-anak yang belajar bahasa Ingegris sejak darjah satu hingga darjah enam saya yakin bahawa dengan sistem pembelajaran yang baik mereka akan dapat menguasai apa juga bahasa. Hatta kalau kita minta semua pelajar Melayu belajar bahasa Mandarin dalam subjek Matematik dan Sains, selepas enam tahun kita akan dapati mereka juga akan berjaya dalam peperiksaan. Begitulah yang berlaku kepada pelajar Cina yang berjaya menguasai mata pealajaran Sains dan matematik dalam bahasa Melayu selepas mereka belajar 6 tahun di Sekolah Menengah. Dalam peperiksaan SPM merekalah juara. Jadi di sini bukan soal pencapaian pelajar, apa yang penting ialah bahasa Melayu akan terus mundur bila kita tidak percaya kepada keupayaannya dalam penggunaan bahasa ilmu yang banyak terdapat dalam mata pelajaran sains dan matematik. Akhirnya bahasa Melayu akan sama taraf penggunaannya dengan bahasa-bahasa jawa, banjar, bugis,iban yang berperanan sebagai bahasa komunikasi sahaja. Tidak lebih daripada itu.

  3. shafifah berkata:

    Pengajian Kitab Bersama al-’Allamah al-Habib Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syatiri.

    Tarikh: 17 Dhulqaedah 1429/15 November 2008 (Sabtu)
    Masa: Selepas sholat Maghrib
    Lokasi: Masjid Baitul Aman,102, Jalan Damai, Off Jalan Ampang, Kuala Lumpur
    Kitab: an-Nasooih ad-Diiniyah wal Washooyaa al-Imaniyah (Nasihat Agama dan Wasiat Iman)
    Pengajar: InsyaAllah khusus untuk pengajian malam tersebut al-’Allamah Habib Salim bin ‘Abdullah bin Umar asy-Syatiri akan mengajar.

    Tarikh: 18 Dhulqaedah 1429/16 November 2008 (Ahad)
    Masa: Selepas sholat Maghrib
    Lokasi: Masjid Baitul Aman,102, Jalan Damai, Off Jalan Ampang, Kuala Lumpur
    Kitab: ad-Da’wah at-Tammah wa Tazkiratul ‘Aammah (Dakwah Yang Sempurna dan Peringatan Yang Utama)
    Pengajar: InsyaAllah, khusus untuk pengajian malam tersebut al-’Allamah al-Habib Salim bin Abdullah bin Umar asy-Syatiri akan mengajar.

    http://pondokhabib.wordpress.com

  4. rm1juta berkata:

    Bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi bahasa ilmu dan menyatu padukan rakyat malaysia telah diabaikan.Bagaimana nak menghasilkan satu bangsa Malaysia jika bahasa melayu dianggap sebagai bahasa kelas kedua di negaranya sendiri.Siapa yang telah menjahanamkan MELAYU????Adakah UMNO masih releven dilebelkan parti membela bangsa Melayu????Sampai bila bahasa melayu masih dianggap bahasa kelas kedua. Negara sudah 51tahun merdeka tetapi bahasa melayu masih dijajah oleh inggeris…Sedarlah wahai bangsa Melayu.Jadikan bahasa kita , bahasa ilmu!!!!

  5. bumilangit berkata:

    tak gagal tak bermaksud berjaya.

  6. aqil fithri berkata:

    saya kira rakyat malaysia harus membaca kritikan ini juga: http://www.kesturi.net/archives/357

  7. awang selamat berkata:

    Dajal itu perosak. Tak usah diperkatakan boleh atau tidak dikuasai sains matematik dalam bahasa Inggeris. Yang utama, bahasa Melayu itu terbela atau tidak. Mana dia kebangsawanan Melayu itu sendiri. Mana lagi yang dikatakan bahasa jiwa bangsa. Ini merosakkan bangsa. Perosak itu sendiri dajal.

  8. Sukun berkata:

    Pada hari ini, semua anggota Kerajaan Malaysia, daripada hakim hingga ke pegawai rendah terdiri daripada anggota yang mendapat pendidikan aliran bahasa Melayu (Malay medium). Apa pandangan anda, adakah mereka berjaya atau gagal.
    Anggota kerajaan yang berpendidkan Inggeris (English Medium) semuanya telah besara.
    Keadaan sekolah sekarang laksana ,”Rumah Gila”. Adakah masuk akal seorang guru yang memdapat pendidikan Bahasa Melayu dari darjah satu hingga ke Universiti dan telah mengajar beberapa tahun Matematik dalam Bahasa Melayu di minta mengajar pelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris dengan pendedahan kursus beberapa jam sahaja.
    Laporan yang di siarkan hanya penipuan sahaja. Kalau tak percaya pergi ke sekolah dan lihat sendiri.

  9. [...] relevan jarak jauh: KESTURI dan di nahdah. Tags: [...]

  10. Khrisna berkata:

    Assalamu’alaikum Wr. Wb.

    salam perkenalan
    dari Jawa

  11. tuan muda berkata:

    saya setuju dengan ppsmi kerana jika kita lihat universiti-universiti,semua rujukan dalam bahasa inggeris.Jika anak-anak muda belajar dari bawah,senanglah mereka untuk teruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.Kalau ada insan yg mengatakan anak-anak muda susah memahami,pljr yg menduduki upsr,jika keputusannya tidak begitu baik,tidak mengapa krn upsr hanyalah utk pelepasan ke sekolah menengah.Jadi,apabila di sekolah menengah,mereka sudah biasa dengan subjek tersebut dan mudahlah sedikit bagi mereka utk pmr.Apabila naik form 4,mereka akan pelajari pula subjek biology,kimia,add math dan math moden yan merupakan pecahan bagi 2 subjek asas tersebut.Jadi,mereka akan kurang terddah kpd kesusahan dlm memahami subjek f4 krn beberapa istilah sudah dipelajari.Melentur buluh biar dari rebung.

  12. mivec berkata:

    Tuantulis tak pernah membantah atau menyokong. Tapi apa yang berlaku sekarang nampak isu pendidikan sekarang telah banyak dipolitikkan

  13. Yusuf Nasir berkata:

    Tuan muda, saya lebih bersetuju dengan kenapa buku-buku itu tidak diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Perkasakan fungsi terjemahan negara kita. Seperti dilakukan di negara-negara maju. Institut Terjemahan Negara patut dipertanggungjawabkan. Baru ada harapan untuk bina bangsa bertamadun. Bukan semua tindakan poitik itu sempurna bahkan ada yang durjana kesannya.

  14. VEC berkata:

    Saya setuju pandangan tuan, statistik yang dikeluarkan oleh kementerian boleh dipersoalkan kerana tidak telus. Kalau PPSMI dikatakan telah berjaya kenapa apabila pelajar Tingkatan 1 masih terpinga-pinga apabila subject sains dan matematik diajar di sekolah. Pada pandangan saya pelajar di SBP juga tidak dapat menguasainya sepenuhnya kerana masih ada pelajar yang gagal dalam subjek Sains dan Matematik apabila berada di tingkatan 1 dan 2.

Leave a Reply

Arkib