Mutakhir ini saya kira YB Zulkifli Noordin sudah menjadi newsmaker, khususnya dengan ungkapan ‘I’m a muslim first, other else come second’. Maka hangatlah polemik kononnya YB Zul akan menyertai Umno dalam tempoh terdekat kerana kelantangan beliau.
Ada yang menyanggah, kerana ada footage video rakaman Sesi Persidangan Parlimen tempoh hari yang disiarkan oleh RTM dan TV3 menunjukkan sedutan bagaimana YB Zul menghentam dan membuat sindiran kepada beberapa pihak khususnya berkenaan isu azan dan tulisan jawi.
Saya tidak mahu menjadi seperti sesetengah orang, menilai Pimpinan Pakatan melalui media Umno-BN. Sama seperti mencari kekuatan Umno-BN melalui pembacaan Harakah atau Suara Keadilan. Itu kerja bodoh.
Maka saya berminat untuk meneliti keseluruhan ucapan YB Zul di Parlimen seperti yang terkandung di dalam Hansard Dewan Rakyat 23 Oktober 2008. Dan berikut adalah ulasan saya mengenai ucapan YB Zul.
1. Harus diingat sesi Dewan Rakyat kali ini ialah Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009, berhubung dengan Belanjawan 2009. Maknanya semua YB perlu fokuskan ucapan berkenaan belanjawan, samada hujahan balas, hujahan menyokong, hujahan mengkritik mahupun hujah penambahbaikan. Mauduk utama, fokus pada Belanjawan. Apa yang saya perhatikan ucapan YB Zul ini langsung tidak membahaskan Belanjawan 2009. Sebaliknya lebih memfokuskan mengenai isu lain selain daripada persoalan belanjawan. Saya lebih berpendapat ucapan ini wajar dibentangkan sewaktu membahaskan Titah Yang Di Pertuan Agong sewaktu Sidang di buka pada setiap suku tahun pertama, kerana beliau banyak mengulas mengenai Ketuanan Islam dan beberapa cadangan penambahbaikan sistem perundangan serta sosial.
2. Beliau membincangkan mengenai kekuatan Melayu terletak pada huruf M atau Mim, yang membawa maksud Muslim. Saya bersetuju bahawa antara faktor kelemahan orang Melayu pada masa kini ialah tidak adanya penghayatan hidup sebagai seorang Muslim dalam diri kebanyakan orang Melayu masa kini. Majoriti kalangan kita gah beragama Islam, tetapi kita gagal menerapkan nilai Islam dalam kehidupan. Masalah kebejatan sosial, rasuah, salahguna kuasa, semuanya kerana tidak ada penghayatan Islam. Hujah ini boleh saya persetujui. Tetapi meletakkan kekuatan Islam pada orang Melayu semata-mata adalah sesuatu yang kurang realistik. Dalam keadaan Islam itu a’la (tinggi) dan bersifat syumul, maka wajar Islam dikembangkan kepada semua kaum agar Islam boleh ditegakkan, bukan sekadar aspek syariat semata-mata malah dalam konteks pengembangan syiar.
Benar, di Malaysia melalui Perlembagaan Persekutuan, Artikel 160 menjelaskan bahawa prasyarat untuk menjadi orang Melayu, bukan sahaja berbudaya Melayu, bercakap Melayu, dia wajib beragama Islam. Sekaligus menyandarkan tanggungjawab menyebar syiar Islam dan melaksanakan syariat terletak di bahu masyarakat Melayu. Tetapi relevankah Melayu-Islam atau Islam-Melayu semata-mata kalau benar-benar kita mahukan Islam kuat?
Ini juga menjadi polemik di kalangan para mualaf, kerana telah didoktrinkan di kalangan orang bukan Islam, “kalau masuk Islam maknanya masuk Melayu.” Ini antara dilema kebanyakkan mualaf di peringkat awal mereka memeluk Islam.
Maka pada hemat saya perspektif ini wajar dibetulkan. Islam perlu berdiri dengan kefahaman seluruh rakyat Malaysia, kerana Islam bukan rigid. Islam agama yang menganjurkan keharmonian dan keadilan. Non Muslim tidak perlu peluk Islam untuk menikmati kesyumulan sistem yang dianjurkan oleh Islam, sebaliknya mereka cuma perlu faham dan ditunjukkan kaedah yang sebenar mengikut lunas-lunas Islam. Dan di sinilah peranan ulama’ dan umara’ yang sebenar-benarnya.
Di Kelantan, Non-Muslim banyak yang bersetuju dengan sistem Islam, seperti Ar-Rahn, Skim Kifaalah dan seumpamanya. Kalangan mereka tidak ada masalah dengan pengharaman penjualan arak secara terbuka dan juga perjudian. Malah ada yang bersetuju jika hudud dilaksanakan.
Adakah mereka memeluk Islam? Tidak.
Adakah mereka orang Melayu? Tidak.
Tetapi kenapa mereka mudah faham, tetapi tidak bagi sebahagian orang Melayu? Kerana mereka faham dan melihat sendiri kesyumulan sistem Islam itu, sebaliknya ada sesetengah orang Melayu ada menghambur sistem Islam, kononnya jumud, kolot dan ortodoks.
Jika kita menyokong agenda perubahan, ruyung dan dogma ini perlu dipecahkan, dengan tidak menghadkan skop ketuanan Islam kepada Melayu semata-mata. Ia perlu bermula dengan pengukuhan Melayu, tetapi perlu didukung oleh aspek kenegaraan yang pelbagai. Dan saya kira YB Zul perlu memanfaatkan ruang di dalam Pakatan untuk memulakan langkah menyebarluas kesyumulan Islam.
3. Berikut adalah petikan ucapan YB Zul yang menjadi pertikaian:
Menyerang Islam seolah-olah Islam tidak wujud langsung. Mereka mempertikaikan azan, syiar agama Islam. Mereka mempertikaikan tulisan jawi, hantar memorandum minta supaya tulisan jawi tidak dilaksanakan, diamalkan lagi dalam negara ini. Mereka minta, menuntut contohnya supaya soal ketuanan Melayu, ketuanan Islam dipertikaikan di kalangan pemerintah sendiri. Menuntut jawatan timbalan yang sudah menjadi tradisi dipegang oleh orang Islam. Di kalangan pemerintah, ada parti komponen yang menuntut supaya orang Islam dibenarkan untuk murtad, keluar daripada agamanya.
Dituntut supaya negara ini melakukan anjakan dengan menyamaratakan agama Islam dengan agama lain. Semuanya sama. Kita lihat contohnya bukan sahaja di kalangan parti siasah memerintah dan di sebelah sini, terdapat juga di kalangan NGO-NGO. Majlis Peguam yang tanpa segan silu biadab mempertikaikan agama Islam mencabar orang Islam, contohnya menghantar wakil dalam kes Azlina Jailani melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang menuntut hak supaya dibenarkan murtad mengikut artikel 11. Majlis Peguam hantar peguam bukan sahaja sebagai pemerhati, tetapi terlibat secara langsung dalam kes tersebut tanpa mengambil kira bahawa 40% lebih daripada ahli Majlis Peguam adalah orang yang beragama Islam. Akan tetapi mereka mengambil sikap bahawa Azalina Jailani perlu dibenarkan murtad mengikut Perlembagaan Persekutuan. Sampai ke peringkat dalam negara ini ada kumpulan yang sudah berani cabar perkataan Allah itu sendiri.
Mengheret kita ke mahkamah, menuntut supaya dia juga boleh menggunakan perkataan Allah. Sehingga ada kumpulan yang sampai ke peringkat tidak menghormati perayaan agama Islam, mencemar perayaan-perayaan agama Islam dengan tuntutan-tuntutan yang tidak ada kena mengena dengan agama Islam. Perayaan Aidilfitri baru ini dicemari.
Soal azan dan tulisan jawi, saya kira mudah untuk dibaca kepada siapa ia ditujukan. Soal azan saya kira telah dijelaskan oleh kariah masjid yang berkenaan mengenai isu ini. Malah YB Zul sendiri telah mengulas hal ini di blog beliau. Justeru saya sedikit hairan kenapa ia dibangkitkan lagi oleh beliau seolah-olah beliau berdiam diri sebelum ini.
Tetapi soalan mengenai tulisan Jawi itu, belum ada justifikasi sehingga kini. Sdr Hasbullah Pit pernah menanyakan soalan ini kepada YB Teresa, tetapi ia tidak bersahut dengan jawapan yang memuaskan.
Saya fikir soal tuntutan itu satu isu, soal kelulusan juga satu isu. Saya lebih berminat untuk menanyakan kenapa DBKL tidak sensitif dalam hal tulisan jawi ini. Untuk lebih spesifik, saya juga berminat untuk melihat siapakah yang bertanggungjawab memandulkan tulisan jawi sehingga majoriti murid melayu Islam sukar membaca tulisan jawi sehingga kini? Soal orang Non Malay atau Non Muslim tolak tulisan jawi, itu benda biasa. Samalah juga jika orang Melayu janggal melihat tulisan ping yin. Soalnya kenapa pihak berkuasa laksanakan?
Berkenaan Majlis Peguam, saya tidak mahu ulas kerana bukan orang yang terlatih untuk bicara dan beri ulasan dalam ruang lingkup itu.
Tetapi persoalan yang dibangkitkan iaitu “..sehingga ada kumpulan yang sampai ke peringkat tidak menghormati perayaan agama Islam, mencemar perayaan-perayaan agama Islam dengan tuntutan-tuntutan yang tidak ada kena mengena dengan agama Islam. Perayaan Aidilfitri baru ini dicemari.” Jelas ini merujuk kepada Hindraf.
Jujur, saya tidak bersetuju dengan Hindraf. Saya tidak tahu apa yang berlaku di rumah terbuka PM awal Syawal lepas, tetapi dikhabarkan bahawa mereka dihalang masuk meskipun telah memaklumkan kepada Pejabat PM seminggu lebih awal mengenai kunjungan mereka, kad ucapan Hari Raya yang mereka siapkan khas buat PM dikoyakkan. Inikah budaya melayan tetamu mengikut adat Melayu dan ajaran Islam?
Saya bukan mahu pertahankan Hindraf melakukan apa yang mereka suka. Jika salah dan tidak mengikut aturan maka mereka wajar dikritik dan dikenakan hukuman yang bersesuaian. Tetapi apakah merayu kepada PM untuk membebaskan tahanan tanpa bicara itu satu tuntutan yang tidak ada kena mengena dengan Islam? Sejak bila pula Islam menghalalkan tahanan tanpa bicara?
4. Tambah YB Zul lagi:
“Namun mengadakan perbincangan secara terbuka, itu bukan caranya. Caranya adalah dengan memanggil mereka yang pakar, mereka yang tahu tentang masalah ini dan diadakan perbincangan. Bukan dengan membuat satu debat terbuka dan kita tahu bahawa persoalan dan isu berkaitan dengan agama khususnya Islam ini sangat sensitif terutamanya kepada orang Islam.”
Sebab itulah dalam tulisan saya terdahulu [Forum Memeluk Islam: Kenapa Perlu Mencari Masalah?], saya lebih cenderung jika alim ulama’ ‘merempuh’ forum-forum yang berkenaan sebagai ahli panel, bukan sebagai demonstran. Berbalas hujah, bentangkan dalil dan nas, saya percaya yang benak pun akan lembut hati. Berbanding terjerit-jerit membantah melaung rasa tidak puas hati, mana yang lebih ikut aturan dan ketertiban dakwah anjuran Islam?
Soal bincang secara terbuka, itu dipersetujui ramai pihak bahawa membincangkan isu yang sensitif tidak perlu dilakukan secara terbuka. Masyarakat kita belum matang dengan kaedah ini. Akan ada di kalangan kita yang mudah pesimis. Justeru lebih baik dianjurkan secara tertutup, tetapi alim ulama’ perlulah memberi komitmen untuk turut hadir dan memberi sudut pandangan dalam bidang agama. Sekadar menjatuhkan hukum ‘itu halal, ini haram’ tanpa menjelaskan rasional dan hikmahnya, saya kira sehingga ke akhir jalan kehidupan pun tidak ada polemik yang berkesudahan!
5. Ucapan YB Zul juga menyentuh mengenai antara individu yang sangat bertanggungjawab di belakang elemen pencemaran Islam ini:
Jadi sekarang ini kita sudah sampai ke peringkat Islam itu diserang dan perkara ini bukan berbangkit baru ini, ia bermula daripada zaman pemerintahan Perdana Menteri dahulu. Beliaulah orang yang memulakan serangan terhadap Islam.
Kita tidak lupa siapa yang telah menghina institusi Islam, memecat mufti yang cuba mempertahankan Islam. Sehingga sampai ke peringkat menghina sunah Rasulullah itu sendiri. Kita tidak lupa dialah orangnya yang telah mencemarkan institusi Raja-Raja Melayu dengan meminda Perlembagaan Persekutuan. Dialah juga orang yang telah menghakis kebebasan kehakiman dengan berlakunya insiden tahun 1988, pemecatan kepada bekas Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara. Hari ini sudah mula hendak bercakap tentang hak orang Melayu, hak orang Islam sedangkan di tangan dia kotor dengan pencemaran terhadap institusi Islam, institusi Raja- Raja Melayu, institusi kehakiman dan lain-lain.
Atas sebab itu pada saya dia orang the last to speak about Islam, to defend the Malays. He should be the last person dengan izin.
Saya ucapkan tahniah kepada YB Zul kerana inilah yang sebenarnya mauduk utama kenapa imej Islam diinjak di Malaysia. Masalahnya ramai di kalangan kita yang masih buat tak endah dengan perkara ini, dan mudah melupakan. Lebih sadis bila individu yang bertanggungjawab tersebut lebih cenderung untuk mencuci tangan dan berlagak suci. Sebab itulah bila beliau mahu berbicara soal akhlak pemimpin, hidung saya mudah kembang kempis.
6. YB Zul seterusnya mencadangkan perkara-perkara berikut:
- Penubuhan Masjid Cina sebagai satu elemen dakwah
- Pemantapan Artikel 3 dan 11(1) Perlembagaan Persekutuan
- Mekanisme Mahkamah Persekutuan turut memasukkan Bahagian Perundangan Syariah sebagai salah satu cabang kuasa
- Penubuhan Majlis Peguam Muslim
- Penubuhan Jabatan Peguam Syarie Negara
Cadangan-cadangan ini, pada hemat saya adalah cadangan yang bernas di dalam memantapkan institusi agama Islam di Malaysia. Malah kedudukan Islam sebagai agama rasmi juga akan lebih kemas dan terdaulat dengan adanya penekanan dalam aspek perundangan syariah negara.
Kesimpulannya, saya melihat ucapan YB Zul ini baik, tetapi tidak kena tempat kerana dibentangkan dalam Perbahasan Belanjawan. Jika dibentangkan tatkala membahaskan Titah SPB Yang DiPertuan Agong, ia sangat tepat. Tetapi intipati ucapannya, ada yang boleh diterima, dan ada yang boleh diperdebatkan. Justeru terpulanglah kepada pihak lain untuk menilai dan menerima atau menolak dalam perspektif yang berbeza-beza. Jika benar YB Zul sedang berkira-kira memilih untuk menukar parti, itu hak beliau. Beliau nampak konsisten dalam sesetengah hal, tetapi tidak dinafikan dalam sesetengah hal beliau kelihatan samar. Justeru saya menunggu penafian beliau mengenai apa yang Sayuti Omar tulis di blognya. Harapnya ia tidak benar, insyaAllah.
Filed under: Analisa, Catatan, Kritik, Politik , Kulim-Bandar Bharu, Zulkifli Noordin
nice comment.
lepas article MSO ari tu, agak tercari cari jugak aku posting yang counter kepada posting MSO.
komen macam dari post ini, memang sedap lah hati mendengar
Nicely articulated. Well done!
Sahabatku Adi,
Aku fikir garis yang lebih jelas ialah menjamin kebebasan beragama. Dialog memakan masa dan bersifat elitis namun perlu diteruskan.
aku tak paham mamat ni. power ranger pun tak buat macam ni. kenapa nak tunjuk hebat? dakwah? heh!
kalau tak suka azan,tulisan jawi keluar dari malaysia,melayu tak minta cina hidup di malaysia, kalau ada melayu yang suka pun dari kalangan PKR sahaja.
saya tak tahu samada sdr baca atau tidak tulisan saya di atas sepenuhnya.
soal azan bukan lagi polemik.ia telah dijawab kariah masjid yg berkenaan.
tetapi hamburan sdr menunjukkan lemahnya penilaian sdr.
saya tinggalkan tiga soalan utk sdr cari jawapan:
1. siapa yang ‘bunuh’ tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara?
2. siapa yang ‘halalkan’ perobohan masjid dan surau?
3. melayu ini asalnya dari mana?