Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Muzakarah: Realpolitik Menenggelamkan Prinsip?

Panjang lebar saya menulis dalam entri terdahulu.

Penting sangatkah isu ini sehingga perlu saya menulis lagi?

Sebenarnya saya telah mendengar berkenaan ura-ura muafakat Pas-Umno selepas sahaja 8 Mac 2008 lagi. Berita ini hangat dimaklumkan oleh rakan-rakan di Selangor khususnya.

Khabarnya muafakat di dalam Pakatan Rakyat tidak menguntungkan Pas. Sampai ke satu tahap ada kalangan pimpinan kanan Pas yang mengjengah pimpinan Umno untuk berkongsi kuasa. Tetapi saya tidak ambil pusing, masakan Pas yang teguh prinsipnya sanggup ‘memutarkan jarum jam perjuangan’ mereka ke belakang?

Justeru saya masih husnuzzan.

Beberapa ketika dahulu saya kerap membaca mengenai ada ura-ura MP daripada Pas yang akan berhijrah bermuafakat dengan Umno di sebalik MP-MP BN dikhabarkan menyeberang ke Pakatan Rakyat. Rakan blogger, Mat Saman Kati pun bukan sikit-sikit menulis berkenaan hal ini.

Saya mula rasa canggung.

Tetapi apabila didedahkan PM bahawa ada komunikasi, ada muzakarah, Ustaz Hadi pun mengaku, saya goyang sedikit. Dan tatkala tersiar artikel ‘ahli Pas dalaman’ di dalam Laman Marhaen semalam, secara peribadi saya fikir ‘ini bukan cobaan, ini betul-betul!’

Pendedahan YB Ir. Khalid Samad, MP Pas Shah Alam sedikit sebanyak memberi kesan. ‘Mendengar tawaran Umno’? Seolah-olah Pas dalam keadaan sedang mempertimbangkan ‘tawaran’ tersebut. Alhamdulillah penjelasan YB Khalid boleh saya terima, secara peribadi.

Usaha muzakarah ini bukan baru. Sewaktu pasca PRU-10 1999 dahulu, heboh ada muzakarah antara Umno dan Pas yang melibatkan Tun Dr. Mahathir dan Almarhum Ustaz Fadzil. Umno diketuai Tan Sri (sekarang Tun) Khalil Yaakob dan Pas diketuai Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Tetapi kebijaksanaan Ustaz Fadzil ternyata menguntungkan Pas apabila 3 syarat diberikan kepada Umno, iaitu:

(i) Jangan gugurkan nama Islam dalam mana-mana pertubuhan politik;
(ii) Harakah dikembalikan 2 kali seminggu; dan
(iii) Kembalikan royalti minyak Negeri Terengganu.

Walhasil muzakarah ini terus terhenti.

Percaturan Ustaz Fadzil pada ketika itu, kalaulah ditakdirkan muzakarah itu dimanipulasi Umno sehabis mungkin, setidak-tidaknya ada ‘kemenangan’ di pihak Pas. Dan pastinya pada ketika itu, pimpinan Umno menghenyak pimpinan Pas kononnya tidak ikhlas dan sebagainya.

Kini, ‘muzakarah’ dicanang semula, seusai 10 tahun nada yang sama dilaung hampir 10 tahun yang lepas.
Bezanya kali ini ialah, wujud ‘bunyi-bunyi’ kononnya perkongsian kuasa sebagai galang ganti. Didedahkan di dalam Malaysiakini semalam bahawa ada tawaran untuk Pas mengepalai kerajaan Negeri Selangor tatkala Pakatan sahih dinobatkan kerajaan baru Selangor. Bukan mudah mahukan Dr Khir Toyo sanggup menjadi Timbalan MB!

Alhamdulillah masih ada hujah-hujah rasional mempertahankan perlunya Pas mengelak daripada ‘periuk api’ baru ini, contohnya seperti Tok Guru Nik Aziz dan YB Husam Musa.

Saya percaya bahawa perjuangan yang bersendikan Islam tidak akan tunduk kepada kuasa. Islam tidak menghalalkan machiavellisme, justeru tidak boleh berkompromi dengan realpolitik dengan menggadaikan prinsip.

Meskipun Saidina Uthman ibn Affan pernah mengatakan bahawa ‘hanya kekuasaan boleh merubah sesuatu,’ tidaklah pula ia membawa justifikasi bersekongkol dengan benda yang salah akan menjadi ‘halal’ demi memartabatkan sesuatu yang suci.

Kalau ini berlaku, maka pakatlah ramai-ramai kalangan kita menjadi ‘Robin Hood’, melakukan kejahatan demi menghentikan penindasan.

Siapalah saya untuk bercakap dalam jalur-jalur dakwah. Saya hanya insan kecil. Tidak layak mempertikaikan kredibiliti mana-mana ulama atau pimpinan Pas yang menyokong muzakarah. Tetapi saya bersetuju dengan Sdr Bakaq, janganlah bertindak di luar jangka atas nama Melayu dan Islam. Jangan lacurkan kedua-duanya.

Pas pernah menerima aib pada tahun 1978, sebaik sahaja mereka diterajang keluar daripada BN. Malah tidak keterlaluan dikatakan Pas adalah merupakan parti politik yang paling banyak diuji dalam landskap politik negara dek hegemoni politik acuan pemerintah. Alhamdulillah 12 tahun selepas itu dikurniakan Kelantan kepada Pas, yang kekal sehingga ke hari ini.

Saya khuatir, sekiranya mereka terus redha ‘bersama’ dan ‘husnuzzan’ sekali lagi, ditakdirkan Tuhan mereka ‘tersungkur’ sekali lagi, apakah selepas itu, rakyat boleh terus bersangka baik selepas rakyat memberi peringatan yang bukan sedikit?

Filed under: Kritik, Politik

4 Responses

  1. Isu ini berjaya tenggelamkan isu liwat dan minyak, apa akan terjadi jika di dalam kepimpinan PAS mempunyai pemimpin yang gila kuasa dan wang. Muktamar akan menjadi panas lebih panas dari TUN M marahkan pak lah. Ipoh akan mengunkirkan sejarah.

    Rakan2
    Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
    bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru

  2. mudin001 berkata:

    Tak habis lagi bro? Aku pun sama… harapnya itulah tulisan terakhir tentang isu ini.

    Malas dah!

  3. [...] Muzakarah: Realpolitik Menenggelamkan Prinsip? [...]

  4. Web Sutera berkata:

    Assalamualaikum,

    Emm..kadang2 letih & lelah bercakap fasal politik. Namun, ianya adalah kehidupan kita. Jom lawat blog buku saya. Minat membaca kan?
    http://pasalbuku.blogspot.com

Leave a Reply