Apabila rakyat – melalui sistem pilihanraya yang penuh sangsi dan pertikaian – bertekad memberi kemenangan 81+1 kerusi kepada Pakatan Rakyat sekaligus menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, pertimbangan rakyat adalah jelas: bosan dan penat dengan sebarang bentuk elemen penindasan samada dalam konteks politik mahupun ekonomi.
Rakyat kelihatan sanggup melangkah ke satu era baru yang tidak pernah terjangkau dek pemikiran mana-mana penganut politik feudal, iaitu keluar dari kepompong perkauman untuk menyatakan sokongan kepada politik baru: politik yang meletakkan janji untuk membela rakyat atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Orang India dan Cina sudah berani membawa panji PAS, orang Melayu hadir ke ceramah anjuran DAP, ceramah anjuran KeADILan menyaksikan betapa muafakat kaum bisa terjalin di bawah satu wadah politik. Ini realiti Malaysia era PRU-12.
Siapa sangka PAS akan menang di Parlimen Kota Raja yang majoriti pengundi adalah pengundi India? Siapa jangka DAP boleh tembus di Johor dengan 4 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen? Siapa menduga Lembah Pantai bisa diwakili seorang wanita muda yang baru bertatih dalam kareer politikya menewaskan penyandang yang sinonim dengan Lembah Pantai buat sekian lamanya?
Ini politik baru. Politik yang rakyat galaskan harapan untuk keluar daripada kepompong politik busuk lagi membusukkan. Rakyat penat ditindas, rakyat jelak diperbodohkan.
Justeru apabila wujud desas-desus Pakatan Rakyat bergolak yang memungkinkan Pas keluar daripada Pakatan, saya hanya mampu senyum tawar. Tambahan pula kuat benar anginnya bahawa wujud ‘muzakarah’ antara Umno dan Pas mutakhir ini.
Saya cenderung untuk tidak percaya bulat-bulat perkara ini, kerana saya percaya Islam menolak politik penindasan. Mustahil harakah politik Islam terbesar di Malaysia sanggup bersekongkol dengan politik yang menindas di sebalik slogan ‘kemaslahatan melayu dan islam’.
Pun begitu, politik ialah art of possibility, seni segala mungkin. Hari ini boleh di atas, esok terperosok di bawah. Hari ini mencaci memaki, esok berlaga pipi.
Saya sebetulnya canggung jika konsert Mas Idayu dan Ella, insiden Alak Carburator Dung melondehkan seluar menjadi semacam satu bentuk klimaks kepada hujung pangkal survival Pakatan sehingga memaksa Pas keluar daripada Pakatan. Apa kurangnya dengan konsert Inul Daratista yang bakal berlangsung buat kali kedua di Malaysia nanti (khabarnya dibatalkan sehingga Inul hampir pengsan!), adakah bila berbeza kabilah akan menyebabkan mereka sokong dengan nada yang berbeza?
Saya bukan orang politik, saya bukan ahli mana-mana pertubuhan politik. Tetapi saya perlu akui, dalam politik, kiblat saya adalah idea, bukan ikon ataupun platform. Idea yang saya junjung ialah idea yang memulangkan yang hak kepada yang berhak, yakni rakyat.
Analogi mudah, letakkan matlamat kita untuk membajak sawah. pastinya kita menggunakan kerbau ataupun mesin membajak sawah sebagai platform mencapai matlamat. Adalah ‘cerdik ya amat’ sekiranya sawah dibajak menggunakan Porshe atau basikal. Maknanya, melampiaskan matlamat perlulah menggunakan platform yang sesuai.
Saya orang Melayu, beragama Islam. Saya sayangkan kedua-duanya. Pun begitu saya tidak boleh terima sama sekali, atas nama Melayu dan Islam penindasan menjadi sesuatu yang dihalalkan dalam apa bentuk cara.
Budak darjah 1 kalau terus disuruh menduduki peperiksaan SPM tanpa kefahaman, itu kerja bodoh. Sebab itu dia perlu diajar apa itu matematik, apa itu sejarah, apa itu pendidikan Islam, barulah dia boleh dikatakan bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM.
Muafakat Pakatan perlu menjangkau politik bijak dan matang. Dalam hal ini KeADILan dan DAP tidak boleh terkecuali.
Kita akui bahawa konsep dan amalan demokrasi merupakan anutan politik Malaysia. Tetapi itu tidak bermakna ia mesti menafikan bahawa demokrasi perlu berada di atas mana-mana agama dan bangsa sehingga mengabaikan ketuanan rakyat secara keseluruhannya. Demokrasi haruslah bersifat menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa, tanpa menafikan hak mana-mana agama dan bangsa sebagaimana yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam konteks ini DAP juga perlu bijak menyesuaikan Malaysia Malaysiannya dengan realiti politik Malaysia. Persoalan sekular ataupun tidak tidak pernah difikirkan rakyat secara serius. Tidak timbul persoalan bahawa negara teokrasi akan mengambil tempat jika Islam menjadi tunjang.
Islam itu indah, tetapi keindahannya bukan mudah difahami majoriti rakyat. Sebab itulah, saya percaya bahawa solusi terbaik ialah lapisan dakwah amalan Rasulullah SAW. Dengan golongan jahil, lain kaedahnya. Golongan menengah lain kaedahnya. Golongan ahli kitab lain pendekatannya.
Islam bukan bersifat menghukum, itu haram itu halal. Ada justifikasi di sebalik setiap garis hukum. Tetapi apakah rakyat khususnya bukan Islam faham? Mana lebih penting, laksanakan hukum dahulu, ataupun beri penerangan baru laksanakan?
Di sini tanggungjawab Pas perlu lebih efisyen. Penerangan dan penjelasan dengan kaedah hikmah dan berhemah perlu agar melembutkan hati-hati yang mungkin benak untuk menerima Islam.
Susah untuk orang terima jika hukum menjadi pendekatan terus-menerus. Sebaliknya didik dan terang, itu paling perlu.
KeADILan juga tidak boleh menjadi terlalu populis dan bermain ‘politik selamat’ untuk meraih sokongan bukan Melayu/Islam. KeADILan, sebagaimana jaminan Anwar Ibrahim, perlu terus tegar menjamin nilai Islam dan Melayu tanpa mengabaikan agama dan bangsa lain.
Saya sendiri begitu maklum bagaimana KeADILan diberikan kerusi yang tidak selamat, atau dalam bahasa strategi pilihanraya “kerusi kelas C” kerana terpaksa akur dengan kehendak PAS dan DAP. Bukan sedikit keluh kesal pimpinan KeADILan yang sampai ke telinga saya, dek kerana tidak boleh menyerlahkan potensi di kerusi yang mereka berpotensi menang. Laluan terpaksa diberi KeADILan kepada PAS dan DAP di kebanyakan tempat. Tetapi kemenangan KeADILan menunjangi Pakatan di dalam Parlimen perlu difahami bahawa rakyat selesa dengan KeADILan.
Maka KeADILan perlu menggambarkan kematangan dan kebijaksanaan berpolitik yang lebih tinggi agar mampu menunjangi Pakatan, tidak sekadar bersifat populis semata-mata.
Justeru persefahaman perlulah dicapai melalui kebijaksanaan pimpinan KeADILan, PAS dan DAP untuk memulangkan yang hak kepada yang berhak, yakni rakyat. Tidak perlu ada yang tergadai, tidak perlu ada yang tercalar, jika muafakat dicapai dengan penuh hikmah dan persefahaman.
Pakatan Rakyat, secara teorinya baru bersama kurang daripada setahun, malah belum menjangkau 6 bulan pun. Justeru pasti ada terlebih terkurang di sana sini. Apatah lagi Pakatan menggabungkan 3 entiti politik yang berbeza sudut sisi ideologi politiknya,maka memang wujud perbezaan mahupun percanggahan pendapat. Tetapi itulah realiti muafakat, menilai kecerdikan di sebalik masalah yang tersirat.
Sebab itulah jangan sesekalipun, mana-mana pihak ‘dipatuk ular dua kali dalam lubang yang sama.’ Saya perlu akur, saya bukan da’ie yang faham jalur-jalur dakwah. Tetapi saya percaya kompromi itu ada batasnya, dan bukan kuasa sebagai galang ganti prinsip.
Pandangan saya mungkin saja dicemuh ‘bersifat idealis’, ‘tidak realistik’, dan ‘tidak faham politik’. Tapi saya percaya, majoriti daripada 27 juta rakyat Malaysia tidak kenal erti ‘real politic’, mereka cuma tidak mahu sepak terajang politik kepartian melacur hak mereka. Mereka hanya mahu hidup dalam keadaan yang sejahtera di bawah kepimpinan negara yang adil dan berwibawa.
Perjuangan ini menuntut pengorbanan. Rakyatlah yang bakal tersempit atau untung di sebalik bidak-bidak catur politikus matang mahupun mengkal.
Jangan lacurkan hak rakyat. Seinci kamu menyimpang, seribu batu rugi ditanggung.
Antara beban yang paling besar didalam amanah apabila ianya melibatkan hak rakyat… Ade berapa ramai manusia yang mempunyai hak keatas amanah yang dipikulkan keatas pemimpin. Malangnya diMalaysia, politik dianggap sebagai medan mengumpul kekayaan dan membuat ramai manusia hilang pedoman dang mengganggap amanah rakyat sebagai hak individu…
Berapa banyakkah dut-duit yang menjadi hak rakyat yang telah dikorbankan begitu sahaja dan yang telah disalah gunakan untuk memuaskan nafsu-nafsu para pemimpin???
Tertarik dengan entri ini izinkan aku mengulas (penuh sopan santun). Semenjak tragedi kepada Barisan Nasional pada Mac 2008 (kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU), rakyat sebenarnya tidak endah sangat hendak menoleh kebelakang apa dan siapa itu KeADILan, DAP mahupun PAS. Hatta, saban hari disogok dengan pelbagai dongeng dan hikayat dari media massa, ia bukan racun yang sewenangnya boleh merobek jiwa dan minda yang meronta.
Apa yang jelas, ideologi berbeza Pakatan Rakyat ini tidaklah menjadi maudhuk utama tatkala rakyat memangkah lambang-lambang mereka dikertas undi. Yang menjadi hal utama kepada jelata adalah untuk menumbangkan ataupun setidak-tidaknya mengurangkan majoriti wakil parti Barisan Nasional di Parlimen Malaysia.
Misi berjaya! Episod berganti hari, namun rakyat sedari kini bahawa sekadar mengurangkan majoriti sahaja rupanya tidak betah untuk menyedarkan Barisan Nasional dari haloba dan ego kekuasaan mereka.
Walaupun ditampar dengan kemenangan di 5 negeri dan WP nampaknya agenda ringgit dan kuasa tidak mudah lekang dari sanubari kotor keparat-keparat ini.
Sang wira maju melangkah menongkah samudera. Sedang menggunung harapan disandarkan kepada Anwar Ibrahim untuk melakar satu lagi sejarah Malaysia, timbul isu “perbincangan dalaman UMNO dan PAS” ini yang cukup menyakitkan ulu hati dan gigi geraham.
Episod celaka apakah ini?
Mujur Tuan Guru Nik Aziz tampil dengan tegas bahawa perbincangan itu jika diteruskan wajar berkapasitikan kehendak individu sahaja. Soal melibatkan parti, harus ada orang ketiga katanya. Ini sedikit melegakan.
Namun aku terpanggil untuk mengalihkan jelingan tajam kepada DAP. Apakah yang ada dalam pemikiran mereka sekarang? Apakah mereka fikir segala teori dan hasut nista dari “pemikiran melayu lama” itu sudah lenyap hanya kerana kemenangan besar mereka kelmarin?
Apakah mereka fikir dengan berkibarnya bendera DAP oleh Ali, dan berkibarnya bendera PAS oleh Ah Chong maka semangat Malaysian Malaysia itu sudah cukup layak untuk mereka membentak menagih kerusi tertinggi negara? Jika ada 10 Lim Guan Eng didalam parti mereka, maka dipersilakan dengan segala hormatnya.
Namun jika hanya ada 1 Lim Guan Eng manakala 100 Karpal Singh ataupun Lim Kit Siang maka wajar mereka uruskan persoalan perkauman itu dahulu sebelum 13 Mei dan komunis kembali dijadikan agenda sebagai “penawar” politik kepada survival orang Melayu.
KeADILan? Kalian wajar bangkit sebagai Yang Berhormat wakil rakyat sebenarnya. Hentikanlah lamunan kalian betapa daripada seorang marhaen kini boleh memegang stereng V6 dengan megahnya.
Pesan aku, jika sekalian kamu ahli politik DAP, keADILan mahupun PAS sanggup dan terpaksa menggadaikan prinsip dan agenda perjuangan kamu demi kepentingan, kemaslahatan, keharmonian rakyat dan tanah air ku Malaysia, maka satu hari nanti kamulah sebenarnya yang akan kami angkat dan kenang sebagai Yang Berhormat yang mewakili kami….
seorang “Wakil Rakyat” ..
dan bukan!
seorang “Wakil Parti”!
Takbir! Reformasi! Makhal Sakhti!
disiplin dalam gerakan mesti kuat. mula2 aku ingat disiplin PKR teruk, namun nampaknya PAS pula yang buat hal.
aku teringat cerita MP PAS pergi mintak maaf kepada rashid SPR. sesuka hati je buat benda tanpa konsesus parti. mana mesyuarat? mana kesatuan fikrah?
PAS kena duduk balik muhasabah. dia jangan ingat orang undi PAS sebab bendera bulan tu, tapi sebab ABU- asalkan bukan Umno, dan sekarang dia nak buat bertentangan dengan ABU.
PKR, PAS dan DAP kena duduk satu meja balik. rom tak dibina dalam masa satu hari. negara yang baik tak dapat dibentuk dalam masa 100 hari!
[...] Jangan Lacurkan Harapan Rakyat [...]
[...] Dengan Izin…™ “menyimpang seinci, sesat seribu batu…” « Jangan Lacurkan Harapan Rakyat [...]