
Sejarah tercipta malam ini. Debat yang diiktiraf sebagai memahat sejarah baru dalam landskap politik negara berjalan dalam suasana yang lancar, meskipun saya, pastinya turut dikongsi rakan-rakan lain, sedikit kesal dengan pengurangan waktu debat daripada 1 jam setengah kepada 52 minit. Tak apa, itu isu kecil.
Sebagaimana yang saya ulas dalam entri terdahulu, saya tidak berminat melihat siapa menang siapa kalah dalam debat ini. Tetapi saya lebih gemar untuk meneliti siapa yang paling memanfaatkan ruang perdebatan, antara Datuk Shabery Cheek dan Dato Seri Anwar Ibrahim.
Malaysiakini dan Anil Netto ada membuat ulasan yang lebih terperinci, boleh di baca di sini (Mkini BM), di sini (Mkini English) dan di sini (Anil Netto). Dalam masa yang sama pembaca juga boleh membuat undian untuk menilai keputusan akhir debat semalam di sini.
Saya akan melihat dalam dua konteks, pertamanya disiplin debat dan keduanya perspektif politik.
Saya bukan maestro dalam disiplin debat, sekadar menilai daripada sudut sisi yang amatur.
Dalam disiplin debat, apa yang penting ialah ialah wujud pertentangan hujah. Hujah dilontar satu pihak dan disanggah dengan fakta oleh sebelah pihak lagi. Sekiranya lontaran hujah dan fakta tidak disambut dan dijawab, maka itu meninggalkan lompong yang besar.
Dalam perdebatan ini, beban paling besar dipikul oleh Anwar, kerana beliau menggalas tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat dan dunia, bagaimana harga minyak boleh diturunkan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.
Dalam konteks ini, Anwar mendominasi ruang meskipun dari segi aturan perdebatan beliau kurang mendapat kelebihan berbanding Shabery. Anwar bertindak menjawab soalan, menghuraikan kaedah-kaedah penurunan harga minyak dengan tersusun, dan paling penting tidak lari daripada topik perdebatan.
Berbeza dengan Shabery apabila Shabery lebih banyak menumpukan isu ’sejarah Anwar’ samada sewaktu Anwar menjadi pemimpin pelajar tahun 1974 ataupun sewaktu Anwar menjadi TPM pada era 1990-an. Shabery turut mengupas mengenai kenaikan harga minyak global yang mengesani rakyat sehingga menuntut penstrukturan semula subsidi. Tetapi Shabery tidak memperincikan dengan begitu mendalam apakah bebanan kerajaan secara spesifik dan bagaimana kenaikan harga minyak ini, sekiranya tidak dikawal boleh melumpuhkan aktiviti ekonomi negara.
Shabery boleh saja mengulas bagaimana kenaikan harga minyak boleh mengurangkan kesan domino ekonomi yang memungkinkan rakyat tertindas dalam gelombang inflasi yang tidak terkawal.
Anwar berjaya mengupas bagaimana perlu pengurusan keuntungan Petronas dikawal selia dengan baik, dan perlunya konsesi IPP disemak semula untuk memberi pulangan kepada rakyat dalam bentuk penurunan harga minyak.
Disiplin asas debat mahupun pengucapan awam ialah kredibiliti, iaitu kepakaran untuk berhujah dalam isu yang didebatkan. Apabila Anwar membetulkan fakta Dr. Nordin Kardi mengenai sumber gas dan hubungkaitnya dengan IPP, itu cukup menunjukkan beliau mahir untuk berbicara mengenai topik ini.Banding beza KDNK Malaysia dan negara-negara Asia, jurang inflasi antara negara Amerika Latin membuatkan beliau berada di kedudukan tepat untuk mendebatkan isu ini. Dalam disiplin pengucapan awam, Anwar mempunyai kredibiliti untuk berdebat mengenai isu ini. Shabery kurang berhujah dalam konteks ekonomi makro nasional, sebaliknya hanya menyandarkan hujah kepada kenaikan harga minyak dunia seolah-olah Malaysia tidak mempunyai mekanisme tersendiri untuk mengurus ekonomi.
Satu yang saya sedikit canggung dengan Shabery malam tadi ialah apabila beliau mengelak soalan Zulkifli Sulong, wakil Anwar dalam debat ini mengenai ketirisan peruntukan kerajaan kepada Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) sebanyak RM4.4 billion hasil penjimatan sewaktu minyak dinaikkan 30 sen pada Februari 2006. Shabery tidak menjawab persoalan ini yang saya kira antara satu perkara yang menjadi pertikaian ramai sehingga kini. Wujud eskapisme dalam hujah Shabery khususnya sewaktu menjawab soalan Zulkifli.
Shabery membangkitkan mengenai peranan Anwar sewaktu menjadi TPM, antaranya bagaimana konsesi IPP ini dianugerahkan sewaktu Anwar menjadi TPM. Tetapi Anwar menyanggah dengan mencabar mana-mana pihak untuk membuat semakan mengenai bagaimana Tan Sri Ani Arope sanggup meletak jawatan sebagai Pengerusi TNB kerana tidak bersetuju dengan kadar yang ditetapkan oleh pemilik konsesi dan kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri.
Adalah perkara yang membingungkan apabila Shabery terlalu kerap membangkitkan isu demonstrasi jalanan dan sehingga ke satu tahap, membangkitkan isu londeh seluar dalam Perhimpunan Sejuta Rakyat anjuran Protes dan Geramm 6 Julai lepas. Saya kira ini bukan hujah yang membantu Shabery, apatah lagi dalam debat yang saya kira berprestij ini. Hujah sedemikian, jika di mana-mana kopitiam mungkin laku.
Baik, itu dari konteks fakta dan disiplin debat. Kita lihat dalam perspektif politik.
Terang lagi bersuluh debat ini memberi satu suntikan moral kepada Anwar. Anwar berhujah dengan fakta dan santai, dengan mengabaikan serangan peribadi ke atas beliau sebaliknya memfokuskan masa kepada topik perdebatan.
Harus diingat debat ini bukan debat politik, ini debat merungkai isu yang membelenggu rakyat. Ini platform untuk menjelaskan apa rasional di sebalik dakwaan yang dibuat, baik Anwar yang mahu menurunkan harga minyak ataupun kerajaan melalui hujah Shabery untuk mempertahankan kenaikan harga minyak.
Di sini, ruang dimanfaatkan Anwar untuk membentangkan kaedah-kaedah dan tidak bersimpang siur. Shabery turut mengemukakan hujah rasional tetapi rasional tersebut agak rapuh dan hanya bersandarkan kepada kenaikan harga minyak global, sebagaimana sebelumnya.
Menyerang peribadi bukan sesuatu yang ditunggu oleh rakyat yang tidak memihak. Rakyat mahu mendengar penjelasan dan fakta. Justeru adalah tidak bijak dengan mengaitkan sejarah Anwar sebagai TPM, demonstrasi Baling 1974 dan juga perhimpunan aman yang dianjur Pakatan. Anwar memilih untuk tidak melayan, sebaliknya fokus pada perdebatan walaupun adakala beliau menyinggung secara santai.
Mengaitkan keterbukaan kerajaan zaman Anwar dan zaman sekarang untuk menganjurkan debat malam tadi juga satu hujah yang silap dan memakan diri. Jika benar terbuka, kenapa tidak disiarkan secara langsung melalui RTM yang pasti boleh dicapai di kampung-kampung berbanding TV9, Astro Awani dan Bernama TV yang secara logiknya hanya jelas siarannya kalau ada Astro?
Apapun, syabas kepada kedua-dua pendebat kerana berani tampil berdebat. Cuma saya berpendapat, lebih baik debat ini, pihak kerajaan mewakilkan pakar ekonomi seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Amirsham A Aziz, ataupun PM sendiri selaku Menteri Kewangan untuk berhujah atas pentas malam tadi. Ekonomi tidak boleh disanggah secara retorik, ia memerlukan fakta dan statistik.
Tuntasnya, saya yakin, rakyat lebih arif mengadili untuk memilih jalan yang mana perlu dipilih dan dipersetujui pasca debat Anwar-Shabery.
Datuk Salleh Majid Lebih Hebat Dari Anwar Atau Shabery
http://sebolku.blogspot.com/2008/07/datuk-salleh-majid-lebih-hebat-dari.html
Kedua2 konteks yang saudara kaitkan itu amat bertepatan sekali. Melalui 2 konteks ini kita akan dapat menilai siapa sebanarnya yang tidak memahami dan kurang mengkaji tentang tajuk perdebatan itu. Syabas buat kedua2nya.
DSAI lebih hebat daripada Shabery yang cuma tahu mengungkit dan buat air liur…saya mahu minyak turun bukan minyak naik inflasi naik…
salleh majid memang lebih hebat… dia bini dua beb… mungkin sekarang dah tambah lagi kot??? huhuhu
Syabas buat DSAI..hujah-hujah bernas dan fakta-fakta meyakinkan yang DSAI kemukakan memang cukup mengagumkan saya.
Lebih-lebih lagi apabila ianya disampaikan dengan penuh karisma (wpun sekali-sekala kedengarannya agak sarcastic) oleh insan berwibawa bernama Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Pasti bukan nak cari pemenang tetapi kaedah atau formula tentang harga minyak agar tidak menyusahkan rakyat kelak. Bagi aku, DSAI ada berjayanya bermain dengan pelbagai fakta tetapi Shabery begitu ingin mengelak bercakap tentang harga minyak, hanya tahu menyerang peribadi, soalan dari wakil DSAI juga tidak dijawab (soalan membunuh itu).
Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada pendapat saya tentang debat …
nape x de kat rtm,takut ye org kg tgk,pandai yer kerajaan ni….tp org kg x kesah sbb skrg kn ada broadband,kelas gitu..cuma kerajaan yang ketinggln zmn
Satu lagi rekod baru. Inflasi naik ke 7.7%. Dato’ Sabbery kata minyak naik inflasi tak naik, kata DSAI pula formula mana depa pakai..minyak naik inflasi turun?
Realitinya boleh baca dalam Blommberg.Com