Arkib untuk Mei 7, 2008

SPR & Rashid, Apa Hujah Balas Anda?

Dikirim dalam Kritik, Politik dengan label , pada Mei 7, 2008 oleh admin

rashid Kata pepatah, jangan curahkan air di tempayan tatkala mendengar guruh di langit. Dan pepatah ini elok sekali ditujukan khusus buat Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman.

4 hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-12, beliau mengumumkan satu kejutan bahawa mauduk utama reformasi pilihanraya yang akan dilakukan oleh SPR - penggunaan dakwat kekal ke atas pengundi - dibatalkan serta merta atas alasan terdapat pihak tertentu di Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara.

Kononnya pada waktu pembatalan tersebut diumumkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap empat kes membabitkan empat individu berlainan yang disyaki mempunyai kaitan dengan cubaan menipu menggunakan dakwat kuku itu.

Melalui berita pantas daripada Malaysiakini pada ketika itu, Rashid mendakwa bahawa tindakan mengejut itu tidak ada kena mengena dengan sebarang campur tangan mahupun tekanan politik atau mana-mana pihak.

Pun begitu, kejutan ini kelihatan reda selepas Pakatan menang besar pada 8 Mac. Mungkin sebab menang besar, kejutan ini kurang diberi perhatian.

Tetapi kejutan ini terus ‘panas’ semalam, apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menjelaskan bahawa pihak berkuasa tidak menemui sebarang bukti terdapat individu yang membawa masuk dakwat penanda kuku dari Thailand untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke- 12, dalam jawapannya kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Syed Hamid memberitahu, keterangan pengadu dan saksi adalah merupakan khabar angin dan tiada sebarang individu yang dicam atau dikenali secara positif.

Jelasnya, kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 14 Mac lepas dan pada 21 Mac kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut dan kertas untuk simpanan (KUS).

Dimanakah kredibiliti SPR dalam hal ini? Apakah sekadar mendengar ura-ura, dalam keadaan pihak berkuasa belumpun menyelesaikan siasatan maka perlaksanaan terus dibatalkan?

Kalau pertimbangan begini digunapakai dalam perancangan dan perlaksanaan sesebuah dasar atau projek, saya fikir pendeklah jangka hayat dasar atau projek tersebut. Asal dengar ura-ura, batal. Lenguhlah macam ni!

Hampir RM1 juta dibelanjakan untuk membeli dakwat-dakwat kekal tersebut. Dan kini ia terbazir begitu sahaja.

Sekarang, kita tunggu hujah Rashid dan SPR.