Ketua Pembangkang Di Dewan Negara
Saya melihat perkembangan yang diusulkan oleh YB Senator Mumtaz Mohd Nawi melalui berita Harakahdaily.net semalam adalah satu perspektif baru di dalam perjalanan sidang Dewan Negara akan datang.
Membentuk satu lingkungan Senator Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang dialu-alukan. Apatah lagi fungsi Dewan Negara ternyata lebih besar di dalam meluluskan sebarang undang-undang. Kehadiran senator daripada kalangan PR juga, dilihat boleh menambah nilai dan kualiti perbahasan untuk meluluskan sebarang rang undang-undang sebelum digazetkan oleh YDP Agong.
Setidak-tidaknya, Dewan Negara tidak lagi dilihat sebagai ‘rubberstamp’ kepada sebarang bentuk rang undang-undang, tanpa mengira rasional dan keperluan rang undang-undang tersebut sebelum dilulus dan digazetkan sebagai undang-undang yang sah.
Maka langkah pertama ialah memastikan tokoh-tokoh hebat daripada PR dihantar ke Dewan Negara sebagai Senator. Dalam peruntukan Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap Negeri termasuk Wilayah Persekutuan mempunyai 2 kuota lantikan Senator yang dipilih melalui Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi Wilayah Persekutuan, ianya akan dibuat oleh YDP Agong.
Dalam konteks ini, secara asasnya PR bakal mempunyai 10 orang Senator tidak termasuk Wilayah Persekutuan KL.
Beberapa tokoh boleh diketengah. bagi PAS, di samping mengekalkan Senator Mumtaz Mohd Nawi, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din adalah calon paling wajib perlu dihantar. Dan sudah hampir pasti Mohamad Sabu tidak boleh ketinggalan. Sayang sekali Sidang Dewan Rakyat tidak akan digamatkan dengan hujah sinikal beliau. Tetapi siapa tahu, ia akan dipindahkan ke Dewan Negara.
Seorang lagi Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang juga adalah tokoh yang sesuai dihantar ke Dewan Negara. Kepimpinan beliau yang terserlah sewaktu memimpin Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) boleh mewakili suara ulama’ di Dewan Negara. Ustaz Ghani Shamsuddin, Anuar Tahir, Ustazah Nuridah Salleh antara yang boleh diketengahkan.
Bagi KeADILan, difahamkan ‘2 Syed’, Dr Syed Husin Ali dan Syed Shahir Syed Mohamud mengetuai senarai yang bakal dilantik sebagai Senator. Syed Husin merupakan tokoh akademik dan aktivis sejak sekian lama, tidak bertanding untuk memberi tumpuan kepada penyelarasan gerak kerja bilik gerakan KeADILan, manakala Syed Shahir bakal memenuhi kerusi untuk mewakili golongan pekerja di Dewan Negara, hak yang dinafikan kepada seorang Presiden MTUC yang bukan condong kepada pemerintah.
Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar juga wajar diberi ruang sebagai tokoh muda untuk mewakili suara belia di Dewan Negara. Sekiranya beliau terpilih, beliau akan menjadi antara Senator termuda mewakili senator-senator yang sedia ada sekarang selepas Nordiana Shafie tewas di DUN Batu Buruk, Terengganu. Saya juga cenderung untuk memilih Dr Badrulamin Bahron sebagai salah seorang calon KeADILan yang wajar dipertimbangkan sebagai Senator, memandangkan kredibiliti beliau yang seimbang sebagai tokoh agama dan akademik.
Bagi menggambarkan kemajmukan KeADILan, tokoh-tokoh seperti Christina Liew, Irene Frenandez, dan lain-lain boleh diketengahkan.
DAP boleh mengembalikan Dr Chen Man Hin ke Dewan Negara dengan pengalamannya beliau yang sarat. Saya tidak mengenali ramai tokoh-tokoh DAP, jadi mungkin ada tokoh lain yang tidak saya ketahui yang boleh menyumbang kepada kualiti perbahasan dan idea di Dewan Negara kelak.
Biarpun PR hanya boleh menyumbang maksimum 10 orang Senator (melainkan ada kuota lantikan bagi Wilayah Persekutuan), diharapkan bilangan itu boleh memanfaatkan perbahasan dengan penguasaan fakta yang imperikal. Kalau Sukarno memerlukan 10 orang pemuda, maka tidak mustahil 10 orang Senator PR ini mampu menggoncang Dewan Negara kelak.