Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Buku: Ahmad Boestamam – Satu Biografi Politik

boes
Sebelum ini pengkisahan hidup Allahyarham Datuk Ahmad Boestamam (AB) ini hanya saya baca melalui kompilasi tulisan Allahyarham yang diusahakan oleh Penerbit UKM, iaitu Merdeka Dengan Darah Dalam API.
Sehinggalah Saiful menunjukkan kepada saya buku ini, maka saya terus cuba mendapatkannya daripada Dawama. Agak sedih juga apabila dimaklumkan buku ini hanya ada di Dawama Cawangan Sarawak, tetapi layanan efisyen pegawai Dawama menjadikan urusan pembelian begitu cepat dan mudah. Alhamdulillah, buku ini sampai ke tangan saya Isnin lepas, dan berjaya saya habiskan dalam tempoh 5 hari.
Buku ini berbeza dengan Memoir terdahulu, memandangkan buku karya Ramlah Adam ini adalah merupakan satu kajian terperinci yang merujuk pelbagai sumber, dan Merdeka Dalam Darah pula adalah merupakan kompilasi 3 buah autobiografi tulisan Boestamam sendiri, iaitu Lambaian dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang.
Biografi AB ini mengkisahkan mengenai perjalanan kehidupan AB sedari kecil, menjajat awal kehidupan beliau sebagai wartawan di beberapa buah akhbar sehinggalah terpupuk kesedaran berpolitik yang tinggi dalam diri AB. Ini dapat dilihat dalam usaha beliau menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti politik pertama dalam sejarah politik tanah air.
Kemudian AB menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API), gerakan politik pemuda radikal yang pertama di Tanah Melayu pada ketika itu. Pengaruh Boestamam dan kepimpinannya yang digilap sewaktu berkhidmat sebagai wartawan dan Pegawai Propaganda Jepun di Perak mengesani pengaruh API di seluruh semenanjung. Antara yang turut terlibat dengan API di peringkat awal adalah Allahyarham Tun Ghafar Baba, yang kemudiannya menyertai Umno selepas API dan PKMM diharamkan kerajaan British.
Kemudiannya ditahan di bawah Undang-undang Darurat oleh British selama 7 tahun (diabadikan di dalam nukilan AB, Tujuh Tahun Malam Memanjang), dan menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada tahun 1955 beberapa bulan selepas beliau menghirup udara segar di luar penjara. Menubuhkan Barisan Sosialis (SF) bersama Parti Buruh Malaya (PBM) dan bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun 1959, sehinggalah berjaya menjadi Ahli Parlimen Setapak dengan mengetuai SF di Parlimen pada tahun 1959 hingga 1963. Pembangkang dilihat hebat pada era tersebut, malah antara terhebat dalam sejarah politik negara dengan kehadiran AB, Dato Onn, Dr Burhanuddin Helmy, Dr Zulkefli Mohamed, dan lain-lain tokoh.
Melalui PRM dan SF, AB begitu serius memperjuangkan sosialisme dan marhaenisme di Parlimen, khususnya sosialisme ekonomi di Tanah Melayu pada ketika itu.
Sehinggalah beliau ditahan di bawah Internal Security Bill 1960, akta yang dibangkang AB sewaktu di dalam Parlimen, atas tuduhan mempunyai hubungkait dengan Indonesia dan pihak luar bertujuan membantah penubuhan Malaysia. Ini dilihat bersangkut paut dengan prinsip AB yang berkeras mahu menubuhkan Melayu Raya di peringkat awal penglibatan politik beliau.
Satu fakta menarik ialah, AB adalah merupakan individu terawal yang ditahan oleh kerajaan British dan Perikatan di bawah undang-undang darurat dan Internal Security Bill, di mana kedua-duanya adalah merupakan ‘tahun-tahun gelap’ buat AB. Jelas menunjukkan bahawa gerak geri AB menjadi satu masalah buat kedua-dua kerajaan – British dan Perikatan- dalam dua era berbeza.
AB bangkit selepas ditahan selama 7 tahun di bawah Undang-undang Darurat, apabila menubuhkan PRM dan berjaya menjadi Ahli Parlimen. Tetapi fasa ketiga (beliau pernah ditahan sewaktu membantu Ibrahim Hj Yaakob memimpin Kesatuan Melayu Muda, KMM) penahanan AB pada tahun 1963 – 1967 menyebabkan AB menjadi sedikit pasif di dalam arena politik, dengan memberi tumpuan kepada arena penulisan. AB berkecimpung di dalam arena penulisan sehingga ke akhir hayat beliau pada tahun 1983.
AB dinafikan hak berpolitik yang sewajarnya dikecapi beliau tanpa halangan. Penahanan beliau tanpa bicara dan asas kukuh menyebabkan beliau sukar bangkit buat kali kedua. Ini juga turut dihadapi oleh Allahyarham Dr Burhanuddin Helmy yang ditahan atas alasan yang hampir serupa.
Buku ini pada hemat saya banyak memberi input mengenai fakta-fakta yang terperinci yang tidak diketahui mengenai AB. Semangat nasionalisme AB begitu tinggi dan beliau tidak boleh dipinggirkan daripada lembaran sejarah negara meskipun beliau bukan di pihak pemerintah.
Beliau menggambarkan kredibiliti kepimpinan beliau melalui penggubalan Testamen Politik API, pertama seumpamanya di zaman penubuhan API dan PKMM.
Rentetan kehidupan beliau penuh dengan kesukaran, dan itu cukup menggambarkan betapa AB adalah tokoh terbilang. Saya yakin, sehingga kini AB tidak akan ada galang gantinya.

Filed under: Buku, Reviu , , , , ,

11 Responses

  1. Amin Ahmad berkata:

    Orderkan aku 1?

    Jumpa aku nanti,aku bawakan kau ke Dawama.Ada stok lebih tempohari pihak Dawama ‘terbangkan’ dari Sarawak.. :)

  2. bumilangit berkata:

    mereka yang lupakan sejarah, takkan ada masa depan!

  3. Amin Ahmad berkata:

    Kalau sempat kau angkat dulu dan aku bayar kemudian+belanja makan :)

  4. bulanmalam berkata:

    Zul, mereka yang mecipta sejarah dahulu..
    Dari sejarah kita pula membina masa hadapan..
    Supaya anak cucu kita lebih memahami jati diri..
    untuk tidak melupakan sejarah dan masa hadapan..

  5. saufi berkata:

    kat mana buleh dapat buku ni???
    sapa2 buleh tulong??

    sdr saufi,
    boleh dapatkan buku ini di Kedai Buku Dawama. Boleh rujuk dan semak di sini -> http://www.dawama.com/index.php?tpl_id=125

  6. saufi berkata:

    tuan,,terima kasih banyak-banyak..
    saya sgt berminat utk ambil tahu pasal tokoh2 yg dicop oleh golongan tertentu mengatakan mereka berhaluan kiri…

  7. Muhd Rizal berkata:

    Tuan, boleh dapatkan saya 1 ?

  8. m zaki arif berkata:

    ada buku mengenai Dato’ Ahmad Boestamam akan terbit berjudul “Pemikiran Politik dalam Novel-nevel Ahmad Boestamam karya Zabidin Hj Ismail terbitan Universiti Malaya Press”. Kalau berminat sila hubungi Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Menarik dan informatif tentang kemerdekaan Tanah Melayu.

  9. uwaisabbas berkata:

    salam,..syukur sy ada meminjam buku ini dari library universiti saya di UIA utk buat assgnmnt sy..dapat juga saya baca mengenai beliau. di library UIA ada 2..satu dari ramlah adam dan satu lagi, testamen darah dengan api..

  10. Juzzie berkata:

    u aku xde testamen politik api..aku nk wat assgmnt utk rujukan pun xleh..hampa btol rasanya…sejarah kita terlalu diwarnai dengan permainan politik..generasi masa depan buta dengan kebenaran..just my pandangan…hehehe

Leave a Reply

Arkib