Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Di Sebalik Pengharaman ‘Islam & Pluralisme’

islam-pluralisme.jpg

Beberapa hari lepas saya terbaca di Mstar bahawa ada 11 buah buku yang diharamkan kementerian. Antara yang diharamkan adalah buku Islam & Pluralisme yang dikeluarkan Middle Eastern Graduate Centre (Megc) karangan Al-Mustaqeem Mahmood Radhi.

Saya berkesempatan membaca buku ini hampir dua tahun lepas, sewaktu saya masih lagi di universiti. Buku ini adalah merupakan kompilasi beberapa tulisan penulis dan pemikir, antaranya Nurcholis Majid, Hans Kung, dan juga teman saya sewaktu sama-sama mengikuti program kepimpinan muda Asian Renaissance iaitu Suratno, pensyarah di Universitas Paramadina.

Buku ini adalah merupakan pemecah kekeliruan oleh pemikir pro-pluralisme di sebalik apa yang diwar-warkan oleh Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mengenai ancaman liberalisme dan pluralisme Islam satu ketika dahulu. Buku ini hanya memberi satu sudut sisi pandang mengenai betapa faham pluralisme ini tidak wajar dilihat ‘kotor’ dengan hanya mengambil kira satu haluan semata-mata.

Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan pengharaman buku-buku yang dilaksanakan, bukan sahaja buku ini, tetapi juga buku-buku lain. Beralasankan ‘boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam’ adalah satu alasan yang perlu dihalusi semula.

Persoalan samada saya bersetuju dengan kandungan buku tersebut ataupun tidak, ia tidak wajar timbul. Saya melihat apa yang perlu dilihat di sini ialah ‘perang hujah’ dan debat intelektual, dalam erti kata lain hujah ilmiah dibalas dengan hujah ilmiah, bukan manipulasi kuasa menjatuhkan hukum agar ia terbiar tanpa tanda tanya.

Sekiranya fakta yang dikemukakan itu dilihat bercanggah, maka kenapa tidak ada inisiatif untuk mengemukakan fakta ilmiah sebagai satu hujahan balas menjawab fakta-fakta yang dikatakan mengelirukan tersebut?

Dalam konteks Islam Liberal misalnya, tatkala isu ini disebarluas di khalayak ramai, ada buku-buku yang ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah, Ustaz Dr Asri Zainul Abidin, Adian Husaini dan lain-lain pemikir. Meskipun tidak banyak, tetapi inisiatif untuk merungkai kekeliruan itu ada. Ini yang boleh menyuburkan budaya berfikir di kalangan masyarakat agar mereka cekap dengan budaya ilmu yang mengalir, tidak bersifat mati.

Saya berpengalaman membaca buku Islam dan Dasar Pemerintahan karya Ali Abdul Raziq keluaran Institut Kajian Dasar. Buku ini, pada pengamatan mengkal saya, tidaklah menjadi satu isu besar pun. Tetapi saya merasa sedih apabila saya mengajukan soalan di kalangan ustaz-ustaz di universiti saya, termasuklah menghantar emel kepada beberapa tokoh Islam terkemuka di Malaysia demi mencari jawapan kepada hujah-hujah di dalam buku tersebut, kesemuanya tidak berbalas.

Kalau adapun hujah yang sangat pesimis, “buku itu tak perlu dibaca, menafikan hukum Islam,’ ringkas jawab mereka tanpa hujah konkrit untuk membalas secara intelektual. Maka bagaimanakah yang boleh dikatakan budaya ilmu wujud dengan realiti seumpama ini?

Pesimis dan manipulasi kuasa untuk menjatuhkan hukum menjadi jawapan akhir. Dan para akademia kita terus leka dan lena tanpa mengerah keringat mengusahakan jawapan balas. Lantas membiar masyarakat terbuai dengan hujah separa matang dan orientasi sehala semata-mata.

Dan saya bersetuju dengan hujah Tok Mudin yang terdahulu memberikan respon beliau mengenai isu ini:

Kalau iya pun pluralisme itu sesat… disinilah perlunya peranan ulama. Balaslah hujah dengan hujah. Ambillah contoh daripada tradisi ulama silam, misalnya Al-Ghazali yang menulis buku Tahafut al-Falasifah kemudiannya dijawab oleh Ibnu Rusyd dengan buku Tahafut al-Tahafut.

Saya fikir, sekiranya sampai ke satu tahap ia perlu diharamkan, mengapa tidak diharamkan majalah-majalah erotik seperti Nurani, Pesona, Mastiara dan sebagainya? Majalah sebegini begitu banyak menghiasi rak-rak buku dan majalah di kedai-kedai runcit, tetapi tidak difokuskan sebagai bahan yang perlu diharamkan. Mengapa? Adakah Majalah Mangga, Hai dan URTV lebih tinggi nilainya daripada buku-buku ilmiah yang diharamkan tersebut?

Pada saya, ia akan berbalik kepada konsep kuasa pasaran. Sekiranya penulisan itu tidak ada ruang di hati pembaca, maka ia akan terbiar begitu sahaja. Sekiranya ada permintaan, maka kekallah ia di pasaran saban minggu dan bulan. Dalam konteks buku Islam & Pluralisme ini, berapa ramai agaknya di kalangan puluhan juta rakyat Malaysia yang membacanya berbanding Mastika dan Mastiara sehingga ia bisa mencetuskan kekeliruan yang serius kalangan ummah?

Saya melihat, budaya debat intelektual wajar dihidupkan dengan menarik balik pengharaman buku-buku berkaitan. Apa jenis buku sekalipun, meskipun berat hujahnya perlu dijawab dengan hujah intelektual. Bukan dengan menjatuh hukum sewenang-wenang.

 

Filed under: Buku, Catatan, Kritik , , ,

12 Responses

  1. Amin Ahmad berkata:

    Adi, sertai kempen Jangan Haramkan Buku! Aku rasa kita perlu gerakkan kempen Sapere Aude! (Berani Untuk Tahu). Dan sebahagian dari kempen ini ialah dengan menyatakan secara tegas – Jangan haramkan buku!

    Amin, aku setuju tanpa ragu.

  2. fathi aris omar berkata:

    Salam, saya sedang mengumpul bahan-bahan di Internet tentang isu pengharaman buku, khususnya yang terkini “Islam & Pluralisme”.

    Jika ada catatan blog, surat pembaca, artikel atau ulasan tentang isu ini, sila nyatakan di blog saya.

    Kami juga, yang bergabung bersama Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), mengharapkan sokongan anda dengan cara MENULIS SURAT kepada laman-laman web media, misalnya Malaysiakini.com tentang isu ini.

    Terima kasih. Salam. faomar@yahoo.com

    Sdr Fathi,
    terima kasih kerana singgah.
    Pesanan sdr akan dipanjangkan kepada teman-teman seangkatan,insyaAllah.

  3. mudin001 berkata:

    Saya juga memiliki dan membaca buku Islam dan Dasar Pemerintahan. Dan saya masih ingat lagi apabila saya cuba membincangkan isi buku tersebut bersama rakan-rakan usrah beberapa tahun lalu, saya hanya dipandang sinis apabila saya memberitahu isi buku tersebut kepada mereka. Tidak ramai yang berani untuk mengkaji & berbincang. Mungkin takut tergugat fahaman yang sedia ada?

    Itulah masalah kita!

    Tok Mudin, itu memang masalah besar masyarakat kita. Sentiasa pesimis tatkala tidak bersetuju. Akhirnya, yang rugi tetap mereka.

  4. najwan halimi berkata:

    Kenapa KKDN tak haramkan terus Al-Quran? Bukankah Al-Quran itu lebih merbahaya, menyeru agar pembacanya menegakkan keadilan dan memerangi kezaliman!

  5. shabriduda berkata:

    Saya bersetuju dengan pengharaman buku2 yang boleh menghakis akidah umat islam di Malaysia.seperti yang kita tahu di MALAYSIA ilmu akidah kurang diberi penekanan dalam pendidikan.berbanding dengan ilmu ibadat.Tak semua ilmu itu boleh dibaca melalui buku oleh kebanyakan orang,ilmu agama(akidah) musti dituntut(pengajian).nak mencari ilmu pun kena ada ilmu juga.

    sdr shabri,
    bagaimana pula dengan majalah Mangga, Hai, URTV dan sebagainya yang boleh mengganggu gugat akhlak anak-anak muda kita? kenapa ini tidak diharamkan?
    Percayakah jika saya katakan bahawa asal saja atas nama hiburan, maka akan ada kelonggaran. Tetapi bila kembali pada persoalan ilmu seumpama ini, maka cepat saja hukuman dijatuhkan.

    persoalan aqidah umat islam ini perlu dirujuk kepada pengemaskinian sistem pendidikan. Pemurnian aqidah hanya akan bertitik tolak daripada sistem pendidikan awal agama yang utuh, dari konteks prinsip dan praktikal.

    dan di sinilah muncul peranan penting ulama, untuk memastikan bahawa setiap hujah yang dilihat bercelaru dijawab dengan fakta yang berkesan dan bersifat qati’e. Ceramah saja tidak cukup, mereka perlu kembali menulis agar ilmu itu mengalir dan difahami sekalian rakyat.

  6. shabriduda berkata:

    saya bersetuju majalah hiburan memberi kesan pada akhlakanak muda,saya juga bersetuju ada bahan bacaan yang boleh menggugat akidah islam.Produk insan islam yang dilahirkan melalui pendidikan awal islam “sekarang”adakah memenuhi piawaian dalam suasana intitusi kekeluargaan dan pendidikan yang caca marba ini.sejauh mana mereka boleh mempertahankan akidah islam melaui ilmu yang ada pada mereka.kekadang mereka gagal membezakan syariat dan israiliyat.logika yang bersarang untuk bincang soal agama.
    Ada bahan bacaan yang amat ilmiah di bincangkan oleh para ilmuan dan orang yang sewaktu dengannya.tetapi sesuaikah di perdebatkan dan dipahamkan oleh orang ramai yang minat membaca tanpa ilmu.
    saya tetap bersetuju bahan bacaan yang di kenal pasti boleh memudaratkan “akidah” perlu ada garis panduan untuk masyarakat kita.jangan lah ambil risiko dengan mengatakan semua masyarakat kita berilmu.intitusi ulamak perlu cemerlang dalam megembalikan kegemilangan beragama dlm masyrakat islam (maaf ini pendapat saya yang bukan dari kalangan sarjana)

    terima kasih sdr Shabri.tidak ada masalah untuk berpendapat.
    melihat kepada hujah sdr, saya memikirkan kepada persoalan asas. merujuk kepada penyelewengan akidah yang disebut sdr, dalam buku Islam & Pluralisme yang saya rujuk dalam entri ini, bahagian manakah yang disifatkan menyeleweng? Ini memerlukan justifikasi yang kukuh.
    Saya tidak mempertahankan buku ini dalam konteks keperluan menyokong hujahnya, kerana pada hemat saya, sesuatu hujah dan fakta yang salah tidak beerti perlu diharamkan, sebaliknya perlu diperbetulkan. Dalam konteks ini, hujahan balas daripada alim ulama adalah amat perlu berbanding mengharamkan.

  7. shabriduda berkata:

    Maaf tuan ,komen saya tadi tentang 11 buku yang telah dihukum tu, sekira diantaranya ada buku yang bahannya boleh mencacatkan iman dan islam seseorang.saya tidak merujuk pada buku “Islam & pluralisme” sebab saya tak baca.

    terima kasih.

    tidak ada masalah sdr,dan tiada apa-apa perkara yang perlu dipohon kemaafan.
    saranan saya,baca dahulu, kemudian kita nilai samada salah atau tidak.
    terima kasih kerana sudi singgah blog saya secara berterusan.

  8. Amin Ahmad berkata:

    Saya rasa kita patut bezakan penulisan bersifat ilmiah dan hentaman melulu kepada agama. Saya juga tidak bersetuju jika ada maki-makian dan carut serta cerca – cukup jelas ia tidak menggambarkan kualiti intelek.

    Tapi jika kita mahu haramkan semua bacaan yang boleh menggugat aqidah, ia seolah2 kita mahu mengharamkan tulisan2 lain berkaitan Kristian, Hindu dan sbgnya..

    Sampai bila kita mahu belajar untuk inklusif – memahami realiti kepelbagaian? Sampai bila kita mahu takut2 sendiri pada hal2 yang tak pasti? Lebih ramai yang sesat tanpa membaca!

  9. Suratno berkata:

    Konten tulisan di atas mengingatkan saya pada kasus serupa di Indonesia, ketika MUI (Majelis Ulama Indonesia) mengeluarkan fatwa haram terhadap Sekularisme, Liberalisme dan Pluralisme (SLP).
    Akhirnya, daripada kehabisan energi, para pendukung SLP mengabaikan saja fakta bahwa fatwa haram itu pernah ada.
    Ini seperti peribahasa yang berbunyi: “ANJIING menggonggong, KAFILAH tetap berlalu”. Kalau di umpamakan para pendukung SLP adalah kafilah itu, maka bisa saja berarti bahwa MUI yang terdiri dari para ulama adalah…..??? (you know what I mean lah). Salam, Suratno- Paramadina University

    Salam Sur..lama sih enggak berjumpa kamu!
    terima kasih karena singgah! :)

  10. Amin Ahmad berkata:

    Kawan-kawan boleh hantar email ke laman2 web berasaskan berita dan juga berita2 mainstream untuk highlightkan isu ini.

    Harap tulis dengan sopan.

  11. fathi aris omar berkata:

    Middle-Eastern Graduates Centre Sdn Bhd
    5A-4, Block F1, Jalan PJU 1/42A, Dataran Prima, 47301 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
    tel +603 7803 2545 fax +603 7803 2543 email megcentre@gmail.com

    Siaran Akhbar
    5 Februari 2008

    Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) berasa sangat terkejut dan sungguh kesal dengan tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mengharamkan buku “Islam dan Pluralisme” terbitan MEGC, bersama 10 buku lain, seperti dilaporkan di media pada 29 Januari dan 30 Januari 2008.

    Selain kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak KKDN berhubung pengharaman tersebut sangat kabur dan sewenang-wenangnya, kami juga melihat pengharaman ini sebagai suatu langkah yang bercanggahan dengan semangat keilmuan dan kemajuan seperti diharap-harapkan oleh idea-idea asas Islam Hadhari yang diterajui oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri.

    KKDN tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak kami dan tidak juga menyertakan sebarang justifikasi atau bukti kukuh bagi menyokong tindakan mereka.

    Buku “Islam dan Pluralisme” diterbitkan, bertujuan antaranya, sebagai satu perbahasan untuk mengulas fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkan pluralisme, liberalisme, dan sekularisme. Selepas fatwa ini, beberapa pihak di Malaysian telah menyusun beberapa rencana—menerusi perbincangan dan penulisan—bagi menyokong fatwa tersebut.

    Pada waktu itu, tiada suatu usaha pernah diambil untuk memberikan penjelasan atau penerangan yang berimbang berhubung fahaman-fahaman tersebut di negara ini. MEGC menerbitkan “Islam dan Pluralisme” sebagai satu tawaran bagi melanjutkan perbahasan ilmiah tentang perkara tersebut.

    Menyedari bahawa pluralisme bukanlah sesuatu yang terlalu asing dalam tradisi keilmuan Islam, kami mengutip dan menterjemahkan beberapa tulisan yang cuba menjelas realiti kejamakan (plurality) dan pluralisme keagamaan dalam teks-teks agama (Al-Quran dan hadis), sejarah, tradisi, dan idea-idea yang terkandung di dalam karya para sarjana agung Muslim, khususnya daripada aliran sufisme.

    Kami juga berasa keliru dengan kenyataan pegawai KKDN Che Din Yusoh yang dipetik sebagai berkata, bahawa “Sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam dan seterusnya boleh memudaratkan ketenteraman awam.”

    Pada hakikatnya, penerbitan buku “Islam dan Pluralisme” itu dibuat sebagai salah satu usaha dan sumbangan kami ke arah mengembangkan masyarakat beragama yang lebih berlapang dada serta hidup dengan lebih harmoni di tengah kepelbagaian bangsa, agama, dan budaya seperti di Malaysia.

    Justeru itu, kami berasa hairan dengan tindakan pengharaman buku ini kerana langkah ini tidak membantu usaha-usaha membentuk sebuah keluarga besar bangsa Malaysia yang saling memahami, berfikiran terbuka dan dipertalikan oleh semangat kemanusiaan.

    MEGC akan menghantar surat kepada pihak KKDN secepat mungkin untuk meminta penjelasan, alasan terperinci, dan justifikasi bagi pengharaman tersebut. MEGC juga mengharapkan KKDN menimbangkan semula pengharaman ini dan menarik balik larangan ini.

    Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
    Pengarah Eksekutif

    Maklumat asas buku “Islam dan Pluralisme”

    Tajuk: Islam & Pluralisme
    Penyunting: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi & Khairul Anam Che Menteri
    Tahun diterbitkan: 2006
    Penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre Sdn Bhd (MEGC)
    Tebal: 120 muka surat
    Jenis buku: Terjemahan/susunan artikel-artikel daripada enam ahli akademik dan pemikir

    Isi kandungan buku:

    Pendahuluan – “Bercakap tentang Pluraliti: Aku Manusia vs Aku Muslim”
    Oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

    Bab 1 – Pluralitas Makna Pluralisme (Agama)
    Oleh Suratno, pensyarah Jabatan Falsafah & Agama, Universitas Paramadina, Jakarta, Indonesia

    Bab 2 – Iman dan Kemajmukan Masyarakat Intra-Umat Islam
    Oleh Nurcholish Madjid (allahyarham), pemikir Islam yang terkenal di Indonesia

    Bab 3 – Islam dan Pluralisme
    Oleh Asghar Ali Engineer, penulis terkenal berasal dari India

    Bab 4 – Macam-macam Jalan ke Syurga
    Oleh Reza Shah-Kazemi, sarjana dalam bidang Perbandingan Agama dan bekas konsultan di Institut Kajian Dasar (IKD), Kuala Lumpur

    Bab 5 – Kristian di Masjid Nabawi: Renungan ke dalam Sunnah
    Oleh Reza Shah-Kazemi

    Bab 6 – Pluralisme Keagamaan dan Islam
    Oleh John Hick, profesor emeritus dalam bidang falsafah agama

    Bab 7 – Etika Global
    Oleh Hans Kung, presiden Global Ethics Foundation dan juga penggerak utama bidang dialog antara tamadun (inter-civilizational dialogue) di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

    Tentang penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) adalah sebuah pusat kajian dan penerbitan bagi mempromosi isu-isu kebebasan dan masyarakat sivil, berlandaskan tradisi keagamaan dan pemikiran moden. Prinsip-prinsip utama yang menjadi perhatian MEGC ialah kebebasan individu, keterbukaan, persaingan dan kemandirian. MEGC didukung oleh peminat dan pengkaji sejarah, budaya, pemikiran dan isu-isu rantau Timur Tengah.

    Tentang pengasas: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, lulusan bidang syariah di Universiti Mu’tah, Jordan, seorang penterjemah buku, editor majalah dan wartawan/penulis isu-isu Islam, falsafah dan seni budaya.

Leave a Reply