
Saya menghabiskan membaca buku ini dua minggu lepas. Buku ini telah dicetak agak lama, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka hampir berbelas tahun yang lampau. Tetapi saya hanya berkesempatan membacanya sebermula Disember lepas.
Buku ini antara lain mengupas dengan terperinci sejarah hidup Dato Onn, sebermula beliau menjadi wartawan di Warta Malaya dan menjadi pemimpin di Johor, menubuhkan Umno sehinggalah keluar menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan mengakhiri hayatnya sebagai pemimpin Parti Negara.
Buku ini memberikan saya gambaran bahawa Dato Onn adalah pemimpin yang mempunyai pemikiran melampaui zaman. Ini termasuklah inisiatif beliau yang mahu menggembleng kesepakatan masyarakat Melayu untuk menentang penjajahan British melalui penubuhan Persatuan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) dan seterusnya Umno pada tahun 1946.
Saya juga terkesan dengan idea Dato Onn yang melihat relevannya politik integrasi yang melangkaui sempadan perkauman apabila Dato Onn membuka cadangan tersebut dalam Mesyuarat Agung Umno pada tahun 1951 tetapi ditolak perwakilan. Beliau meletak jawatan dan menubuhkan IMP.
IMP gagal berfungsi di dalam landskap politik negara, lantas Dato Onn menghidupkan Parti Negara (PN) untuk menyertai Pilihanraya Umum 1955. PN gagal memenangi sebuah kerusi pun, tetapi itu tidak mengecewakan Dato Onn.
Pilihanraya Umum 1959 menyaksikan Dato Onn kembali ke persada politik nasional apabila memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan hasil kompromi PN – PAS. PN juga memenangi 4 kerusi DUN Terengganu.
Dato Onn, atas senioritinya dilantik sebagai Ketua Pembangkang meskipun PN hanya mempunyai 1 kerusi. Pembangkang pada ketika itu dibarisi tokoh-tokoh hebat seperti Dr Burhanuddin Helmy (PAS), Dr Zulkifli Ahmad (PAS), Khadijah Sidek (PAS), Ahmad Boestamam (PRM), dan DR Seenivasagam (PPP).
Kepimpinan beliau di Parlimen cukup terserlah dengan pendirian tegas beliau mengenai beberapa perkara, antaranya ialah perlantikan Senator kalangan Perikatan pada ketika itu. Beliau berpendapat Senator mestilah dilantik daripada kepelbagaian latar belakang politik supaya keputusan di peringkat Dewan Negara akan lebih adil.
Dato Onn juga menentang keras beberapa fasal di dalam Internal Security Bill 1960 (ISA) kerana wujudnya beberapa fasal yang mengekang kebebasan bersuara. Beliau berhujah bagaimana fasal-fasal tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Isu pendidikan juga seringkali menjadi fokus beliau, memandangkan beliau pernah mengasaskan dan menjawat jawatan Pengerusi RIDA (sekarang MARA) pada tahun 1950 sehingga 1955. Ini termasuklah isu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sayangnya hayat Dato Onn berakhir dengan kejatuhan PN apabila 3 ADUN PN di Terengganu ‘dibeli’ Perikatan. Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1959 agak unik, kerana komposisi 24 kerusi DUN agak seimbang: PAS 12, Perikatan 7 dan PN 4.
Kerajaan PAS Terengganu seringkali dihenyak kononnya gagal memerintah Terengganu dengan baik, dan usaha ‘membeli’ ADUN PN giat dilakukan agar Perikatan boleh memerintah Terengganu di bawah Ibrahim Fikri pada ketika itu.
Mengikut “Memoir Politik Asri” terbitan UKM yang pernah saya baca, Allahyaram Tan Sri Asri Muda juga mendedahkan adanya usaha membeli ADUN-ADUN PAS, tetapi berjaya dikawal oleh pimpinan PAS Negeri dan Pusat pada ketika itu.
Ditawarkan dengan pelbagai janji termasuk peluang berniaga, disokong pula dengan pertemuan ADUN PN dengan Dato’ Abdul Razak (Allahyarham Tun), maka pada Oktober 1961, 3 ADUN PN membuat perisytiharan mereka sah menyertai Umno, dan berakhirlah riwayat PN di DUN Terengganu.
Dato Onn sedih dengan perkembangan tersebut kerana beliau diketepikan atas alasan beliau tidak perlu ambil tahu hal-ehwal Terengganu kerana beliau ‘bukan Anak Terengganu’. Sentimen kenegerian masih menebal di kalangan masyarakat pada ketika itu.
Dan disebabkan kencing manis dan sakit jantung, 18 Januari 1962, Dato Onn menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 67 tahun.
Buku ini, menggarap satu penulisan yang menunjukkan betapa Dato Onn adalah pemimpin yang mempunyai visi ‘di luar kotak’. Kerencaman perjalanan politik beliau banyak yang tidak terdedah, mungkin kerana tindakan beliau yang tidak mahu kekal dalam Perikatan. Tetapi beliau tetap layak disanjung sebagai seorang negarawan terbilang.
Filed under: Buku, Reviu , Biografi, Buku, Onn Jaafar, Politik, Sejarah
ada banyak tak grafik/gambar dalam buku ni.. syia kalau nak baca buku2 gini.. mesti nah tengok gambar2 sekali.. kan biase dorang letak kat tengah2 buku gambar2 berkaitan
ada gambar-gambar, tetapi tidak terlalu banyak. Tetapi cukup baik untuk melatari penceritaan kisah hidup Dato Onn dalam buku ini.
Reviu yang baik, terima kasih
sekadar reviu amatur saja..
nak taw bografi dato’onn jaafar
ekin,
boleh beli buku ini melalui dawama.com
saya telah membaca buku ini sehingga tajuk beliau sebagai pemimpin johor..saya agak kagum dengan perjuangan beliau dalam memperjuangkan kemerdekaan..saya mengkaji penglibatan beliau dalam pilitik negara..beliau adalah pemimpin agung..benar-benar agung..banyak yang kita boleh pelajari daripada sejarah beliau..tahniah kepada pengarang kerana banyak mengulas tentang perjuangan beliau dari lahir hinggalah nafas terakhir beliau..
[...] sewaktu PAS menang dengan majoriti 2 kerusi pada tahun 2004 itu sesuatu yang beretika? – Adakah usaha meranapkan Kerajaan Pas Terengganu pada tahun 1961 yang jatuh akibat ‘pembelian’ ADUN-ADUN PAS dan Parti Negara oleh Perikatan pada ketika [...]
saya pernah menonton dikaca tv mengenai kisah perjuangan beliau, allahyarham memang seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sangat patriotik, malah, sebelum meninggal, dia sempat berpesan agar, dia dikapankan dan di sempurnakan dengan duit simpanannya sendiri, yang ketika itu hanya berjumlah lebih kurang RM 200 sahaja, cukup-cukup untuk menyempurnakan jenazahnya, bayangkan, seorang pemimpin rakyat, yang disaat akhir hidupnya hanya memiliki RM 200 didalam simpanan, dan tidak pernah meminta wang dari kerajaan..ALFATIHAH untuk beliau
Saya ada dengar tentang buku ini. banyak perkara2 yang tak pernah tahu maklumat sejarah yang patut diketahui oleh anak2 sekarang. Mana nak dapat buku ni.
perjuangan dato’onn bin jaafar membuat semangat sy semakin berkobar2 untuk menjadi seorang melayu sejati..
buku ini benyak menceritakan kisah keperitan dato onn untuk memedekakan malaysia..
rugi remaja sekarang tidak membace buku nie..
[...] malas menanyakan soalan yang sama. Baca entri saya yang terdahulu mengenai ulasan Biografi Dato’ Onn Jaafar dan juga entri Jangan Main Belasah [...]