Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Isu PMN: Perlunya Elemen Rasional & Realistik

Kelihatan entri saya Apa Rasional Parti Mahasiswa Negara (PMN)? mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pembaca.

Ada respon menyokong pendapat saya, ada juga yang menyanggah. terima kasih atas komitmen berterusan menyinggah blog saya.

Pendirian saya jelas, samada PMN ini sekadar satu gimik atau realistik, kita wajar berpijak di bumi yang nyata.

Saya berada di alam kemahasiswaan selama 5 tahun, maka saya turut bersetuju jika dikatakan bahawa mahasiswa di Malaysia ditekan dan diinjak pemikiran mereka.

Saya juga bersetuju bahawa AUKU wajar disemak semula dan dimansuhkan, agar memberi ruang mahasiswa untuk merasai nikmat kebebasan berfikir dan berorganisasi.

Tetapi saya tidak melihat usaha untuk menerobos kekangan berfikir kalangan mahasiswa perlu diterjemahkan melalui penubuhan sebuah parti ekslusif untuk mahasiswa. Saya fikir ia terlalu idealistik dan tidak realistik sama sekali.

Soalan asas saya dalam entri terdahulu sehingga kini tidak ada jawapannya.

Pertama, hubungkait Gamis dan PMN, juga kecaman mereka ke atas PAS di peringkat awal pengisytiharan PMN. Ini langsung tidak dijawab. Maka datanglah hujah baru dari Sdr Zainul Faqar:

Parti ini lahir secara biasa-biasa sahaja. Dan mereka bertindak secara biasa-biasa sahaja. Mereka tidak lawan BA. Mereka tidak lawan UMNO/BN juga. Yang mereka lawan adalah Pak Lah.

Kalau benar tidak melawan BA, kenapa dihenyak BA khususnya PAS adalah badut-badut politik yang membiarkan rakyat tertindas? Hujah di atas, begitu kontradik dengan kenyataan awal PMN.

Melawan Pak Lah samalah ertinya melawan Umno-BN, mudah perkiraannya bukan? Ada 2 kategori yang menentang Pak Lah. Pertama, mereka tidak senang dengan Pak Lah tetapi masih setia dalam Umno, dan percaya ruang melawan boleh dilakukan daripada dalam. Kedua, yang tidak senang dengan Pak Lah dan cenderung kepada pembangkang. Nah, pengklasifikasian ini jelas dan mudah. Kenapa mahu wujudkan third force yang celaru hala tuju dan ‘idealisme’ mereka?

Kenapa saya bilang celaru, kerana fokus mereka dua isu sahaja, AUKU dan PTPTN. Dan ini meyakinkan mereka untuk masuk bersilat dalam pilihanraya.

Saya fikir, kalau third force yang ingin dijana, ia mesti relevan dengan seisi rakyat Malaysia. Maknanya ia mesti berbentuk gerakan sivil menyeluruh. Kalau setakat mewujudkan satu force yang kelompok tumpuannya hanya mahasiswa, mana rakyat akan terus berkira-kira untuk menyatakan sokongan mereka kepada PMN.

Hujah Najwan Halimi agak menarik:

“Mereka tidak lawan BA. Mereka tidak lawan UMNO/BN juga. Yang mereka lawan adalah Pak Lah.”

Ya udah sih! Jika ini matlamatnya, maka saya kira lebih baik mereka sertai UMNO saja. Di dalam UMNO itu sendiri pun mungkin lebih mudah utk mereka melawan Pak Lah.

Berpolitik mesti realistik, saya tidak fikir ada mana-mana parti politik yang ditubuhkan hanya untuk menjadi pembangkang. Baik Umno, PAS, KeADILan, hatta DAP sendiri bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan. Tetapi ini akan dibatasi beberapa perkara, termasuklah ruang untuk mereka manfaatkan, sumber yang kuat untuk membantu mereka terus menang dalam pilihanraya.

Pada saya, dengan hanya bersandarkan idealisme semata-mata sukar untuk memenangi rakyat. Maka di sini, wujudlah pakatan agar kekuatan masing-masing berpusat dan kekuatannya mencapah kepada masyarakat. Hatta Parti Rakyat Malaysia (PRM) sendiri pun [kalangan mereka adalah yang tidak bersetuju untuk bergabung dengan KeADILan beberapa tahun dahulu] masih mengharapkan ihsan KeADILan dan PAS untuk memberi laluan kepada calon PRM agar bertanding dalam Pilihanraya Umum akan datang. Yang penting protes kepada Umno-BN harus diterjemah dalam konsep 1 lawan 1 supaya manifestasi perjuangan hak rakyat diterjemah dan dihadham rakyat dengan jelas dan teratur.

Soalan kedua ialah apa sebenarnya fokus PMN dari segi meletak calon? mahasiswa atau graduan? Maka sekarang mereka sekonyong-konyong mengatakan bahawa mereka akan tegar merempuh AUKU kerana pada mereka AUKU unconstitutional. Baik, saya alu-alukan kalau mereka mahu meletakkan graduan. Tetapi persoalannya adakah calon dari kalangan mahasiswa akan diterima hanya kerana pengundi perlu menyatakan rasa protes semata mata? Jujur, percaturan ini tidak sampai ke satu tahap yang boleh dikatakan matang. Bukan kerana mereka mahasiswa, tetapi asas untuk bertanding itu masih samar.

Saya teringat akan Sdr Ng Chee Pang, calon bebas yang melawan Abd Aziz Kiram dalam Pilihanraya Kecil DUN Batu Talam. Kalau hendak difikirkan, bodoh pembangkang memboikot pilihanraya tersebut. Saya sendiri tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Kerana menurut seorang teman saya yang juga AJK Penerangan Umno di sebuah negeri di selatan tanah air, beliau mengatakan memang rakyat di Batu Talam bengang dengan BN. Kebetulan ketika itu isu tol, harga minyak mendominasi diskusi kedai kopi. “Kalau PAS bertanding memang sahih menang,” kata beliau. Beliau sendiri bersilat dengan pelbagai hujah meyakinkan orang di sana, tetapi penerimaannya kurang memberangsangkan.

Tetapi kenapa Ng Che Pang tetap hilang wang deposit walaupun sentimen rakyat begitu membuak? Dia calon bebas, dalam keadaan calon pembangkang tidak ada, maka dia adalah alternatif rakyat pada ketika itu. Kalau diikutkan, dia lebih neutral, tidak terlalu PAS dan tidak terlalu DAP kerana secara prinsipnya dia adalah calon bebas. Tetapi dia masih kalah, mengapa?

Kerana rakyat mahu bernaung di bawah satu entiti yang jelas dan stabil. Datuk Shahrir Samad sewaktu bertanding Pilihan raya Kecil Parlimen Johor Bahru pada 25 Ogos 1988 dahulu atas tiket bebas boleh menang kerana kredibiliti dan khidmat beliau yang mengagumkan.

Lain pula halnya dengan Allahyarham Datuk Harun Idris yang menentang Ong Tee Keat dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Ampang Jaya pada 28 Januari 1989. Datuk Harus Idris adalah wira orang Melayu, bertanding calon bebas di bawah dukungan panji Semangat 46, kalah pada anak muda yang tidak dikenali, Ong Tee Keat di kawasan majoriti Melayu. Mengapa?

Kerana rakyat mahukan sesuatu yang stabil dan boleh menyumbang. Tidak kira entiti itu pembangkang, pemerintah mahupun bebas, sekiranya ada kredibiliti, maka rakyat mudah menaruh harapan agar suara mereka terbela. adakah Datuk Harun tidak berkredibiliti? Isunya adalah apa di belakang Datuk Harun. Umum mengetahui penubuhan Semangat 46 pada ketika itu adalah manifestasi ketidakpuasan hati penyokong Team B Umno. Dan mereka terus longlai sehingga akhirnya.

Saya ada juga mendengar bahawa PMN serius mahu bertanding di Kepala Batas. Mereka, sekiranya tidak diluluskan pendaftaran PMN, akan bertanding di bawah tiket bebas. Pada saya ini akan menyenangkan Umno, kerana PAS semestinya bertanding di kerusi tradisi mereka (walaupun kalah) di Pulau Pinang itu. Dengan adanya calon bebas, undi akan lebih mudah dipecah. Maka media milik Umno akan menggunakan pelbagai kaedah, termasuklah mewujudkan satu sebaran bahawa calon bebas itu ada kaitan dengan PAS melalui Gamis di bawah tiket PMN. Jangan ditertawakan strategi ini, dalam politik dan pilihanraya, segalanya mungkin.

Tiada siapa menjangka isu Ku Li memakai sigah akan digembar-gembur media sewaktu Pilihanraya Umum 1990.

Perkara-perkara teknikal sebegini perlu dipandang serius sebelum masuk ke alam pilihanraya. Masuk pilihanraya tidak semudah kibar bendera, salam pengundi, jaja idealisme, menyusun bahasa indah dalam manifesto dan sebagainya. Ia perlu strategi yang mantap dan halus.

Ramai yang mengulas entri saya terdahulu, menyatakan kalau ada ruang untuk mereka menyokong PMN, mereka berharap agar PMN boleh menjadi platform agar mahasiswa boleh kembali ke pangkal jalan daripada hanyut dengan arus hedonisme.

Saya bersetuju bahawa rata-rata mahasiswa hanyut. Tetapi usaha menarik mereka ke pangkal jalan bukan melalui jalan politik, kerana yang paling penting adalah gerakan sivil yang terbuka dan mudah menyusup ke sana ke mari.

Saya difahamkan fokus PMN bertanding adalah untuk menentang AUKU dan penghapusan kadar faedah PTPTN. Kalau kita rujuk kembali manifesto BA 2004, kedua2 perkara ini jelas dinyatakan oleh PAS & KeADILan. Malah komitmen kedua parti ini ke atas isu AUKU dan PTPTN masih kekal sehingga hari ini. Keduanya adalah bentuk penindasan politik dan ekonomi kepada mahasiswa yang sepatutnya bebas dan tidak terkawal kebebasan berfikir dan intelek mereka.

Isu-isu ini tidak membelenggu rakyat secara keseluruhan, isu-isu ini kalau dijaja rumah ke rumah, saya pasti kurang mendapat sambutan berbanding menjaja isu keselamatan dan inflasi yang tidak terkawal. Kerana apa? kerana ini isu mahasiswa. Dan ada juga yang berhujah bahawa hanya mahasiswa yang layak memperjuangkan isu mahasiswa.

Tidak ada masalah! Tetapi harus diingat apakah pilihanraya jalan terakhir? Menyertai pilihanraya, meskipun senarionya rencam di Malaysia, jangan sesekali bertujuan meraih gimik politik dan populariti. Bukankah lebih molek, menyatakan sokongan kepada mana-mana parti yang memperjuangkan hak mahasiswa berbanding menubuhkan sebuah parti politik?

Saya teringat satu ketika di UIA, sekitar pertengahan tahun 1990-an ketika berhadapan dengan krisis kelambatan pentadbiran universiti menyalurkan wang pinjaman dan biasiswa, mahasiswa di sana melancarkan mogok mi segera tanda protes kepada pentadbiran. mobilisasi seluruh kampus berjaya dilakukan.

Maka saya juga mengharapkan agar PMN ini boleh menunjukkan mereka mampu menggembleng satu solidariti menyeluruh mahasiswa samada di peringkat nasional ataupun di mana-mana IPT yang menyatakan sokongan penuh mereka kepada PMN. Sanggup sama-sama bermatian sekiranya dicantas kerajaan selepas pilihanraya kerana disabitkan kesalahan dengan AUKU.

Bukan beerti saya tunduk kepada AUKU, tetapi berhadapan dengan akta drakonian memerlukan kebijaksanaan mengatur langkah. Bukankah lebih baik, memobilisasi sokongan orang muda dan mahasiswa di seluruh Malaysia untuk sama-sama menyatakan protes kepada pemerintah melalui pilihanraya dengan mengundi pakatan parti yang bukan sahaja cenderung kepada mahasiswa, tetapi cenderung kepada rakyat? Berbanding mempromosikan sebuah parti yang khusus kepada mahasiswa, kita perlu memikirkan apakah respon balas umum kepada PMN.

Beberapa perkara teknikal perlu juga dihalusi. Berapa ramai mahasiswa yang layak mengundi? Berapa peratusan sokongan mahasiswa yang boleh diterjemahkan kepada undi protes dengan menyokong sesebuah parti? Dalam keadaan parti pembangkang yang ada dana pun masih lagi gagal mengekang propaganda kerajaan, apakah dengan sumber terbatas sebuah parti baru mampu menyaingi pembangkang dan pemerintah sekaligus?

Pada saya, saya melihat tidak menjadi satu kesalahan untuk menyatakan protes, tapi ia perlu bijak dan rasional. Kalau betul mereka mahu membela nasib mahasiswa melalui wadah politik, kenapa sekarang? kenapa di saat Pak Lah hampir memperoleh ilham untuk menetapkan tarikh pilihanraya maka mereka pun mulalah menghebahkan ‘ada keperluan untuk mahasiswa masuk ke gelanggang pilihanraya untuk menyatakan protes’. Soalan ini adalah soalan biasa yang ditanya kepada saya tatkala saya mengusik teman-teman memberi respon mengenai PMN.

Kalaulah PMN hendak menunjukkan protes dan mengharapkan sesuatu berlaku ke atas AUKU dan PTPTN, kenapa perlu fokus 1-2 kerusi? Kan lebih baik, fokus kepada semua kerusi Menteri Kabinet dan lawan mereka habis-habisan agar mereka berjaya memperoleh mandat membentuk kerajaan.

Tuntasnya, kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Mahasiswa perlu dibela dan dijamin hak mereka, tetapi tidak perlulah sampai menyediakan satu lagi platform khas dalam politik semata-mata memperjuangkan satu dua isu semata-mata. Kalau demikian hakikatnya, mungkin Pak A Samad Said dan Shahnon Ahmad boleh menubuhkan Parti Sasterawan Negara kerana berlakunya penindasan dasyat kepada karya sastera di Malaysia. Mungkin Ezam juga boleh tubuhkan Parti Gerak semata-mata mahu menentang rasuah di Malaysia.

Setakat melawan Pak Lah dan Najib semata-mata, Anwar Ibrahim pun akan diselar kalau beliau merangka strategi sedemikian untuk KeADILan. Kerana pentadbiran Pak Lah lemah, maka lawan Pak Lah sudah cukup. Itu besar signifikannya, kononnya. Kerusi-kerusi lain kurang penting, yang penting fokus kita lawan PM. Kalau inilah hujahnya, itu bukan hujah dan strategi cerdik.

Cukup cukuplah setakat ini.

Filed under: Kritik, Politik , , , , , ,

12 Responses

  1. najwan halimi berkata:

    Sdr. Hidayat,

    Sehingga kini saya masih tidak mendengar apa-apa respon dari pimpinan politik pembangkang berhubung dgn PMN. Apakah tindakan gelojoh segelintir kumpulan yg mendakwa sebagai mewakili suara mahasiswa ini tidak mendapat restu dari parti-parti politik pembangkang yg lainnya?

    Atau barangkali kerana PMN ini wujud secara tiba-tiba umpama muntah seorang yg sakit perut lalu dianggap sebagai “pengacau politik” yg sememangnya menyusahkan pakatan pembangkang yg punyai agenda lebih besar dari sekadar memperjuangkan pemansuhan AUKU!

  2. zainulfaqar berkata:

    Pendeklah akal kita klu hanya beranalogi sebagaimana tubuh Parti GERAK Negara @ P. Sasterawan Negara sebagaimana oleh Penulis.

    Politic is blind. Saya tidak boleh sebut lebih dari itu kecuali pertandingan mahasiswa-PM jadi kenyataan. wisdom nya ada.

    Makna ‘rahsia’ adalah tidak diketahui umum/timbul tandatanya.

    Sdr Zainulfaqar,
    adalah lebih pendek akal kita kalau perkara asas kepada sesuatu yang dikatakan membawa impak besar tidak dijelaskan kepada umum dengan terperinci. Kredibiliti kita juga boleh disanggah kalau kita mengalihkan fokus persoalan yang dibangkitkan sedari awal.

    Isu AUKU dan PTPTN adalah isu mahasiswa, hanya sekelompok masyarakat dalam Malaysia, bukan majoriti. Maka samalah hal nya kalau A Samad Said yang kecewa karya Ahadiat Akashah menggantikan karya-karya sasterawan negara dalam pengajaran Komsas. Isu itu isu kelangsungan sastera, maka apakah perlu A Samad Said menubuhkan sebuah parti demi memperjuangkan karya sasterawan negara didaulatkan dalam subjek Komsas Bahasa Melayu? Bukankah lebih baik, dengan pengaruhnya sebagai Sasterawan Negara, beliau menyatakan secara terbuka sokongan kepada mana-mana pihak yang medaulatkan kesusasteraan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan Malaysia. Ini lebih bermaruah berbanding menubuhkan sebuah parti politik hanya untuk melampiaskan rasa kecewa. Fahami analogi saya dengan betul.

    Nak berpolitik jangan berahsia, mudah kiraan saya. Jika tidak menanggung rugi berpanjangan. Kalau hanya pimpinan yang tahu, maknanya itu usaha membodohkan rakyat. Menimbulka pertanyaan itu bagus, tetapi kalau yang timbul adalah pertikaian yang panjang, maka rasionalnya boleh dinilai.
    Politik memang buta, tidak ada siapa yang menyangka Anwar Ibrahim yang dulunya radikal terhadap kerajaan akan masuk Umno, dan kini memimpin sebuah parti berbilang bangsa iaitu KeADILan. Tetapi kebijaksanaan mengatursrategi itu yang penting, bukan main semberono.

    Saya tetap berpandangan, mahasiswa perlu meletakkan harga yang mahal agar mereka dihargai. Kalau kerajaan gagal membela mahasiswa, utarakan sokongan terbuka dan menyeluruh kepada pembangkang. Selagi kerajaan tidak tunduk, maka pembangkang pilihan mereka. Ini realiti di Amerika Syarikat dan England, baik Parti Buruh atau Konservatif, baik Demokrat atau Republikan mereka tidak putus-putus berusaha meraih sokongan mahasiswa, kerana mahasiswa dilihat sebagai institusi masa depan.

    Tiup semangat mahasiswa agar bangkit memperbetulkan landskap pengajian tinggi Malaysia. Menubuhkan sebuah parti politik hanya memperlihatkan seolah mahasiswa tandus solidariti,sehingga hanya berpusar di kalangan sendiri.

    Saya tidak mahu terus berpolemik, hasrat saya jelas. Soalan-soalan yang timbul dalam entri dahulu dan entri sekarang perlu dijawab agar keyakinan boleh diraih mudah.

  3. zainulfaqar berkata:

    Seperkara, saya telah uploadkan artikel di atas ini dlm entri blog saya untuk perwacanaan adik2 di kampus. Terima kasih atas pandangan kritikal Saudara. minta izin ya MINTA IZIN…

    Saya berharap kita boleh bersama dalam banyak perkara jika bukan dalam isu PMN ini. InsyaAllah.

    Salam mesra dari ZAINULFAQAR

    Sdr zainulfaqar,
    tidak ada masalah. Tujuan saya jelas, mahu merungkai kekeliruan. Saya cuma mahu soalan-soalan saya berjawab.
    InsyaAllah, harapnya kita boleh bersama kelak.
    Tuntasnya, mahasiswa perlu diletakkan status yang tinggi dan perlu ‘mahal’ harganya agar pemerintah mahupun pembangkang tidak akan sama sekali mengabaikan mahasiswa.

  4. zainulfaqar berkata:

    Bagaimana pula jika saya katakan AUKU, HEP (tidak semua), KPT dll adalah ‘barrier’ yang sengaja diciptakan oleh UMNO/BN agar kita terus berwacana/berpolitik dengan mereka ini sehingga kita lupa siapa sebenarnya God Father ‘berrier’2 ini?

    Sentuhan biarlah minima, tetapi impaknya kalau boleh mahu maksima.

    Selebihnya, saya cukup setuju dengan cita-cita Saudara. Maaf jika tersalah kata-kata. Mari kita berfikir…

  5. wan pdg serai berkata:

    Parti mahasiswa merupakan partiyg di taja oleh kumpulan esekutif,Parti pembangkang tak mungkin dapat berdiri sendiri tanpa bantuan kawan2 dari pembangkang yang lain jadi parti mahasiswa akan mempunyai pakatan,mgkn pakatan telah ada tetapi tidak didedahkan.Ada 3 parti telah melamar mantan ketua angkatan muda keadilan untuk bertanding dalam pru ke 12,sekarang satu jwapan telah ada tggl 2 lagi akan menyusul….

  6. Muiszuddin Helmi berkata:

    Sepanjang 5 tahun saudara dialam mahasiswa apakah yang saudara dah lakukan untuk berhadapan dengan AUKU? Kalau saudara kata perlu tindakan yang bijak apakah tindakan bijak saudara sewaktu zaman mahasiswa? Akhirnya saudara keluar dengan AUKU masih tidak ada sebarang perubahan.. Kalau saudara terlalu bijak apakah pula cadangan saudara untuk berhadpan dengan AUKU. setakat menjadi penglipur lara pada cerita- cerita lama cukup yakinkah saudara orang yang benar- benar menentang AUKU? atau saudara sebenarnya BARUA yang tolong AUKU terus kekal? Rasionalkah saudara ketika itu jika tindakan saudara tidak memberikan kesan kepada AUKU? Rasanya kalau setakat kes MI takdak kesan pun dengan AUKU, Mungkin juga saudara ni antara golongan pengecut yang zaman mahasiswa saudara asyik duduk dalam kelambu. Saudara-saudara. Cuba saudara cari isu yang membantu bukan menjadi anjing salak didalam pagar.

    Sdr Muiszuddin,
    Pertama, gunakanlah bahasa yang elok sedikit.Hujah Sdr cukup emosional, dan saya melihat tidak ada hubungkait dengan entri saya.

    Kedua, Saya lebih suka melihat soalan-soalan saya sebelum ini dijawab,bukannya menimbulkan pertikaian baru. Saya boleh bersetuju dengan PMN kalau ada hujah konkrit, tetapi sampai hari ini ia kelihatan hidup segan mati tak mahu. Soalan saya dalam 2 entri terdahulu langsung tidak terusik, kemudian menghambur saya barua dan anjing. Ini bukan sikap pimpinan mahasiswa Islam.

    Saya tidak melihat AUKU sebagai akta yang relevan. Tetapi menentang AUKU tak perlu terpekik terlolong, berhimpun sana sini menunjukkan protes. Kelak yang terkorban adalah potensi akademik. Ramai yang telah menjadi korban, maka saya tak perlu meletakkan diri saya sebagai nama terbaru dalam list tersebut.

    Itu pendirian saya. Saya lebih gemar menyebar maklumat dan kefahaman kalangan teman-teman di kampus, Alhamdulillah ada yang faham walaupun tidak semua. Perkara yang tidak betul dilaksanakan pentadbiran, kita sanggah dan singguh secara diplomatik, dan Alhamdulillah pentadbiran nampak rasional sanggahan dibuat. Setidak-tidaknya saya kini berada dalam landasan politik untuk pastikan ia terhapus.

    Persoalan penting, jawab soalan-soalan yang saya timbulkan dalam entri terdahulu.

    Apakah penentangan pada AUKU perlu diterjemahkan dalam pembentukan sebuah parti politik khas? Apakah parti politik yang ada sekarang tidak cukup untuk memperjuangkan penghapusan AUKU? Apakah majoriti mahasiswa berada belakang anda? Apakah AUKU mendapat perhatian serius rakyat Malaysia lebih hebat berbanding isu inflasi, keselamatan dan rasuah? Apakah AUKU akan terhapus dengan tewasnya 2-3 orang Menteri, kalaulah wakil mahasiswa berjaya menewaskan mereka sekalipun?

    Berpolitik biar realistik, jangan lacurkan politik dengan idea yang idealistik melangit semata-mata.

  7. najwan halimi berkata:

    Muiszuddin Helmi,

    Kenapa emosi? Menyerang bertubi tanpa adab dan pekerti.

    Saudara sebetulnya keliru. Persoalan AUKU bagi saya kelihatan tidak mendesak. Jika benar saudara berani amat dan bukan sekadar “anjing salak”, maka buktikan dengan menyanggah AUKU secara terbuka!

    PMN dari mulai penubuhannya jelas bersifat keliru. Apa bicara saudara bila jurucakap PMN mengatakan bahawa tujuan penubuhan PMN sebagai satu protes bantahan terhadap AUKU tetapi pada waktu yg sama, ketika ditanya ttg calon pilihanraya, maka calon yg akan diketengahkan ialah mereka yg telah bergelar graduan. Kenapa tidak dihantar “aktivis” seperti saudara sahaja utk berhadapan sebagai calon dlm PRU mendatang ini?

    Sdr Adihamka mengutarakan banyak persoalan dan kepincangan yg berlaku melalui penubuhan PMN ini pun begitu kelihatannya, aktivis PMN yg mengikuti blog ini tidak pernah menjawab persoalan sebaliknya memesongkan perbincangan kepada perkara-perkara yg tiada kaitan.

    Saya mahasiswa. Dan saya tak rasa yang PMN mampu melaksanakan apa yg dikota. AUKU bagi saya tidak pernah jadi isu untuk saya ikut membantu merubah Malaysia. Apa guna PAS, PKR dan DAP jika bukan utk memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat?

    PMN? Apakah kalian sudah teruji utk jd ayam laga dalam arena politik ini? Atau sekadar hebat berkokok semata-mata? Ingat, pengalaman sebagai aktivis di kampus semestinya tidak menjamin kelangsungan perjuangan dalam gelanggang politik nasional!

  8. adihamka berkata:

    pautan blog yang perlu dilihat, dihadham dan’disanggah’ sama buat semua pembaca entri ini:

    http://riwayathayat.blogspot.com/2008/01/hendak-ke-mana-dengan-parti-mahasiswa.html
    http://mudin001.com/2008/01/25/pmn-oh-pmn/
    http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=5688
    http://www.mohdismail.net/blog/parti-mahasiswa-negara-retorik-politik-malaysia/

    meminjam kata sdr zainulfakar, mari kita terus berfikir.
    fikir secara rasional, bertindak dengan realistik.

  9. Amin Ahmad berkata:

    Untuk saya, biar saja PMN memilih jalan mereka kerana mereka percaya tentang itu. Saya bersikap liberal dalam isu ini – biar pasaran rakyat yang menentukan.

    Saya fikir tak perlu adanya PMN jika sekadar mahu sejarah menulisnya.

    Tentangan terhadap AUKU dan akta2 lain saya fikir telah menjadi pengetahuan umum, tapi belum tentu kesedaran umum.

    Untuk PMN, teruskan perjuangan. Untuk yang lain2, teruskan juga berjuang! Masa akan jadi saksi..

    Sdr Amin,

    pertama terima kasih kerana singgah.
    saya setuju dengan pendapat sdr, di akhirnya biar rakyat menentukan apakah ia kekal relevan atau terkubur tanpa nisan.
    saya tegas sedari awal, saya tidak ada masalah dengan PMN. Tetapi apabila kecelaruan hujah yang saya bangkitkan di peringkat awal, maka saya terus menuntut jawapan yang memungkinkan saya bersikap positif dengan mereka. Malangnya, yang berlaku adalah factual divert dan caci maki.

    Saya pernah berada di luar dan di dalam parti politik. Maka saya semakin sedar bahawa kita perlu bersikap realistik untuk memastikan kita menang dalam perang.

  10. [...] ‘restu’ dari parti politik tertentu, aku lebih cenderung untuk bersetuju dengan pandangan Adihamka di blog beliau. Berpolitik mesti realistik, saya tidak fikir ada mana-mana parti politik yang ditubuhkan hanya [...]

  11. Muiszuddin Helmi berkata:

    Jawapan saya pendek…
    1. Ya, AUKU wajar diterjemahkan dalam pembentukan parti politik.
    Rasional? rasional sebab auku ada di dalam perlembagaan. Kalau dikampus suara tak didengar. Sudah tiba masa untuk mencabar lebih terbuka. Kebajikan dan masa depan rakyat…mahasiswa bukan rakyat ke? Kalau mulut mahasiswa dikunci bagaimana mahasiswa nak membantu menyedarkan rakyat. Sekurang- kurangnya PMN menunjukkan peranan mahasiswa untuk tampil membebaskan diri daripada belenggu yang mengongkong mahasiswa untuk menjadi juru bicara rakyat…sebab kita ada pendidikan. Nak tunggu habis belajar..?Ramai cakap begitu…tapi ternyata ramai yang hanyyut jaga eriuk nasik masing- masing.
    2. Cukup, tapi boleh ditambahkan lagi kekuatan dengan kewujudan PMN. sekurang- kurangnya mahasiswa boleh sedar tentang peranan mereka kepada rakyat…ingat lagi peristiwa baling? jangan kata lama dan lapok…ia adalah gelombang mahasiswa…sebab apa AUKU diwujudkan? sebab kerajaan tahu mahasiswa boleh membantu menyedakan rakyat.

  12. Muiszuddin Helmi berkata:

    Syok jugak qoute kata orag ni…renung-renungla ye…saya bukan nak menempelak tak tentu pasal bila saudara aktif menulis tentang ketidak relevenan PMN ni… tapi saya pasti saudara sendiri tak jelas tentang PMN..memang betui sistem demokrasi adalah bersifat terbuka….kat malaysia sahaja yang agak asing dengan kewujudan banyak parti…cuba kita jadi lebih open…saudara mempertahankan idea saudara yang saudara rasakan realistik tapi bagi saya ia tetap idealistik..masing- masing ada pendapat dan pendirian serta sebab untuk menubuhkan sesuatu…cuba kita cuba keluar daripada kelongsong pemikiran yang agak lama…saya bersetuju bahawa mahasiswa bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada rakan, seperti yang saudara buat. Minta izin ya…dan menggadaikan potensi akademik adalah RISIKO yang diambil oleh pejuang ini untuk masa depan mahasiswa yang lebih cerah…maka walaupun ada yang gugur dan tergadai disebabkan perjuangan ini dalam masa yang sama AUKU dapat dilonggarkan, dipinda atau dihapuskan maka ia bayaran yang cukup mahal. Itulah namanya pejuang. Untuk membebaskan negara daripada komunis umpanya nyawa menjadi taruhan. Ramai yang gugur, cacat tapi akhirnya negara bebas daripada cengkaman politik. Islam nak berkembang diawal perutusan nabi menggugurkan ramai shuhada’. Itulah harga yang perlu dibayar. Diplomasi kita guna. Komunis, kita gunakan diplomasi tapi mereka tetap berkeras.. maka bayaran yang lebih mahal yang melibatkan nyawa perlu dilakukan. Apalah salah kewujudan PMN untuk memperjuangkan penghapusan AUKU..ia adalah daripada salah satu method yang lebih drastik selepas hampir 20 tahun method yang kurang drastik dilakukan. Saya pun ada ramai kawan yang faham tentang kepincangan AUKU, tapi setakat faham sajalah dan membenci…akhirnya grad dan tak beri kesan apa- apa pada pihak berkenaan…Pak Menteri tetap selesa tak rasa tergugat…so tak rasional lagikah? Cuba saudara tengok apa kata sahabat kita ni yang saya qoutekan…
    “”Pencinta demokrasi tidak seharusnya cepat melatah dengan kehadiran parti baru Parti mahasiswa Negara,tambahan lagi apabila maklumat jelas belum kita dapati.
    Kehadiran apa jua parti harus dialu-alukan bagi menghidupkan demokrasi di negara ini.
    Kita tunggulah perkembangan selnjutnya.Keberanian mahasiswa menubuhkan parti politik satu langkah bijak untuk mengeluarkan mahasiswa dari belengu AUKu yg dahulunya menggerunkan mahasiswa.Ini adalah perkembangan yang baik.mahasiswa sudah berani menyanggah kongkongan pihak kerajaan.
    Sebagaimana PAS sanggup bekerjasama dengan parti nalakarupan,maka kita juga wajar menawarkan kerjasama dengan parti Mahasiswa untuk sama berjuang menentang BN.Selamat berjuang”

    ya saya mumayu bersetuju dengan pendapat ini….

    betul kita jgn cepat melatah… sabar dan jadi org yg cerdik.. jgn kita main cakap.. hentam sana hentam sini…. `org kedah kata ” taktau kapla ekoq”.. kita tunggu manifesto depa dulu…. mana tau baik untuk perjuangan islam… ha klu lah dalam PRU12 nanti depa tentang kerajaan habis habisan macam sejarah zaman annuar dok U dulu… ha macamana tak malu ka hampa yg dok buat tuduhan melulu tanpa dok perati ceta sebenar.. tunggu dulu dengaq leklok.. pikiaq leklok.. pastu klu ada yg depa bt memang x kena nanti baru kita sanggah…

    hampa memang yg beranak2 memang PAS xpala… nie bagi yg depa beranak2 UMNO.. bukan nak boleh terima cakap PAS… kurang2 datang parti mahasiswa ini.. terbuka skit hati karat biru tue… yg karat hijau pun boleh tumpang tui dan senang… harap faham no… jgn dok angkat diri sgt.. sebut pasai kelulusan,,, takat ba hons org x pandang mana lanie…

    maaf no terkasaq bahasa… wassalam.”

    So, hope kita lebih berhat- hati…buat apa nak bicara panjang tentang perkara yang saudara sendiri pun tak jelas..kang kritikan yang lebih2 tu sebenarnya lebih idealistik…saudara- saudara…minta izin ya…

Leave a Reply