Saya mengalu-alukan ketegasan Datuk Seri Abdul Ghani Othman dalam menyatakan pendirian beliau mengenai pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Lapor Utusan Malaysia:
UMNO Johor tetap mahu Sains dan Matematik dalam BM
MUAR 28 Dis. – UMNO Johor tetap dengan pendirian bahawa subjek Matematik dan Sains perlu diajar dalam Bahasa Malaysia walaupun terdapat peningkatan keputusan untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 yang diumumkan semalam.
Ketua Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, penggunaan bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan keputusan yang dicapai untuk kedua-dua subjek tersebut.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya tetap yakin bahawa bahasa ibunda adalah cara terbaik bagi sesebuah bangsa mendalami ilmu pengetahuan.
Katanya, kenyataan tersebut telah pun dibuktikan oleh sejarah dan pakar-pakar pendidik di peringkat antarabangsa.
“Saya tetap lebih yakin Bahasa Malaysia paling berkesan untuk digunakan dalam mengajar subjek Matematik dan Sains,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Kad Keahlian UMNO Zon Kesang di Kampung Kenangan Tun Syed Nasir di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris yang diperkenalkan sejak 2005 yang dikatakan tidak menjejaskan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran itu pada peperiksaan PMR 2007.
Abdul Ghani mahu langkah memperkasakan bahasa Inggeris dilaksanakan dalam mata pelajaran bahasa tersebut iaitu melalui kaedah yang lebih baik dan tersusun.
Secara terbuka saya bersetuju dengan penegasan Ghani yang juga Menteri Besar Johor. Saya bersetuju kerana Ghani dan beberapa pimpinan Umno Johor seperti Shahrir Samad dan Fuad Zakarshi memang konsisten di dalam memperjuangkan perlunya Bahasa Melayu dikekalkan sebagai bahasa pengantar buat subjek Sains & Matematik.
Sebelum ini saya ada mengulas mengenai kegusaran saya terhadap masa depan Bahasa Melayu melalui dua entri terdahulu, Sejak Bila Bahasa Melayu Kelas Pertama? dan Sejak Bila Bahasa Melayu Kelas Pertama? (edisi kedua)
Saya selalu berbual dengan teman-teman yang kini menjadi guru, demikian juga bekas guru-guru saya dahulu. Mereka mengakui, satu masalah untuk mengajar murid-murid sains & matematik dalam Bahasa Inggeris. Sedangkan Bahasa Inggeris peringkat asas pun murid berbelit lidah, inikan pula istilah saintifik subjek sains & matematik? Masalah ini bukan membelenggu guru-guru di kawasan luar bandar, malah di bandar Kuala Lumpur pun masalah ini masih berlaku.
Kesudahannya? murid-murid diajar juga di dalam Bahasa Melayu. Yang penting, kata teman-teman saya, pelajar mereka faham daripada ternganga bingung.
Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom mengenai peningkatan prestasi pelajar PMR 2007 lepas di dalam subjek Sains & Matematik, saya fikir beliau sebagai Ketua Pengarah Pelajaran perlu faham satu realiti.
Realiti sistem peperiksaan pendidikan Malaysia kini, subjek-subjek sains & matematik masih lagi berbentuk dwi-bahasa. Maknanya, masih ada pilihan bagi pelajar samada mereka mahu menjawab dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Perlaksanaan menyeluruh di dalam Bahasa Inggeris masih lagi menunggu sehingga tahun 2008 untuk dilaksanakan.
Justeru saya juga menunggu, apakah akan dikeluarkan satu statistik, berapa ramai pelajar yang menjawab di dalam Bahasa Melayu, berapa ramai pula yang menjawab menggunakan Bahasa Inggeris. Dan berapa pulakah peratusan di kalangan mereka itu yang lulus melalui pilihan bahasa yang mereka pilih.
Hanya melalui perangkaan sebeginilah maka kita boleh menilai apakah perlaksanaan dasar ini berkesan atau tidak.
Saya juga berharap agar penegasan Ghani ini dihadham oleh pimpinan pemerintah lainnya, agar masa depan pendidikan anak bangsa tidak tergadai, dan kelangsungan Bahasa Melayu terus didaulat sebagai Bahasa Perpaduan.
Komen Terkini