Dengan Izin…™

Icon

“menyimpang seinci, sesat seribu batu…”

Analisis Kes Insiden Batu Buruk

Saya menerima berita mengenai perkembangan di Terengganu melalui Nat Sabtu lepas dan Timbalan Ketua AMK, Cikgu Fariz awal pagi semalam. Jujurnya, ini antara perkembangan yang tidak disangka-sangka dengan apa yang terjadi sewaktu penyuraian program anjuran Bersih oleh polis berlaku di Batu Buruk Sabtu lepas.

Ini sekadar analisis dan pemahaman saya mengenai beberapa perkara di dalam insiden ini.Ia tidak lengkap, sekadar pemahaman daripada pembacaan beberapa sumber media.

Pertama, penggunaan peluru hidup. Penggunaan peluru hidup adalah sesuatu yang begitu mengejutkan, apatah lagi dala menyuraikan ceramah. Sebelum ini, yang selalu digunakan hanyalah gas pemedih mata. Tetapi kini peluru menjadi habuan terbaru. Difahamkan pertama kali dan terakhir peluru hidup digunakan adalah sewaktu Perhimpunan Memprotes Keracunan Arsenik Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999. Itupun, tembakan dilepaskan ke udara, dan dalam satu konteks penyuraian perhimpunan aman, tembakan boleh dilihat sesuatu yang rendah nilai moralnya.

Dan di Batu Buruk ini, tembakan dilepaskan ke arah orang awam tanpa ada apa-apa amaran. Ini disahkan sendiri oleh Ketua Polis Terengganu melalui laporan Utusan Malaysia:

Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob pada sidang akhbar hari ini berkata, seorang polis berpangkat konstabel terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan dirinya setelah dipukul oleh 20 lelaki ketika dia mengawal keadaan di tempat letak kereta Hotel Permai Inn menyebabkan dua perusuh cedera.

Persoalan timbul. Mengapakah perlu dihalakan terus ke arah penyerang terbabit? Dalam prosedur keselamatan yang dikuatkuasakan ke atas polis dan tentera, beberapa syarat penggunaan senjata api terpakai:
(i) mesti melepaskan tembakan ke udara terlebih dahulu
(ii) sekiranya tidak berkesan, tembakan perlu dihalakan ke paras bawah pinggang, lebih tepat, kaki.
(iii) sekiranya masih tidak berkesan, barulah tembakan boleh dihalakan kepada penyerang.

Dalam kes ini tembakan dihalakan tepat ke arah penyerang pada percubaan pertama, dan akhirnya mengenai mangsa yang kini bergelut dengan maut di HUSM Kubang Kerian apabila dikejarkan daripada Terengganu semalam.

Tambah mengejutkan, apabila polis yang menembak itu berpakaian preman sebagaimana yang didedahkan oleh Dato’ Mustafa Ali di Malaysiakini [Shooter was plainclothes officer: PAS]. Ini memang berpotensi mendatangkan syak. Baru sahaja minggu lepas PDRM menguatkuasakan pemakaian uniform polis dalam setiap operasi yang dijalankan untuk mencegah salah tafsir, rentetan daripada kes rogol dan pemukulan juri karate Indonesia beberapa waktu yang lepas. Dan nampaknya prosedur PDRM ‘gagal digunapakai’ di Batu Buruk Sabtu lepas.

Saya tidak mahu menulis ini satu pembohongan, tetapi yang dilaporkan Utusan sebagaimana yang disebut Ketua Polis Terengganu:

Menurutnya, dua lelaki berumur 21 dan 38 tahun yang terkena tembakan ketika menyerang anggota polis tersebut cedera di bahagian bahu dan leher kini ditahan di HSNZ di sini.

Soalan saya, cedera di bahu atau mengenai dada menembusi paru-paru? Laporan terkini Harakahdaily yang mengikuti perkembangan mangsa di Kubang Kerian menyebut:

Pada kejadian di Batu Buruk, Terengganu malam semalam dua orang awam yang menyertai perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) ditembak menggunakan peluru hidup.

Ekoran kecederaan parah yang dialami, seorang mangsa kemudian dipindahkan HUSM petang semalam bagi mengeluarkan peluru yang terbenam dalam dadanya.

Itu satu isu yang saya ulas mengikut pemahaman saya.

Kedua, mengenai pembatalan program. Ketua Polis Terengganu menambah:

Berhubung perhimpunan itu, Ayub menjelaskan, pihaknya ada menerima permohonan tetapi permit tidak dikeluarkan kerana kawasan yang dicadang penganjur tidak sesuai.

Katanya, kawasan itu bukan sahaja sempit tetapi terletak berdekatan dengan sebuah kawasan perumahan pegawai kerajaan.

Ceramah itu dijadual menampilkan Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim; Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP.

“Kita panggil penganjur perhimpunan untuk membincangkan soal permit dan polis mencadangkan supaya perhimpunan itu dipindahkan ke Rusila di Marang.

“Namun, sehingga pukul 6 petang semalam, wakil penganjur tidak hadir untuk membincangkan perkara itu dan oleh itu, permit tidak dikeluarkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata Ayub, kira-kira pukul 9 malam polis menerima maklumat bahawa perhimpunan itu akan tetap diadakan dengan 250 orang berkumpul di kawasan belakang Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin dan 500 orang lagi di hadapan Hotel Permai Inn.

Dinyatakan oleh Tian Chua di dalam kenyataan beliau:

The extremely last-minute decision of the police to revoke the permit for the gathering which they had originally granted is not only unreasonable but also highly suspect, and points towards political meddling.

Kenapa perlu dimaklumkan saat akhir? Saya percaya pihak penganjur bukan berstatus amatur di dalam penganjuran program, pastinya permohonan permit telah dikemukakan paling busuk pun seminggu awal. Kenapa perlu menunggu sehingga jam 6 petang baru ingin membuat makluman kepada penganjur, untuk memindahkan tapak program dari Batu Buruk ke Rusila? Kenapa harus dilakukan di saat-saat informasi program telah disebar luas dan persediaan telah dilakukan oleh penganjur?

Tambah Ketua Polis Terengganu:

Bagaimanapun, kata Ayub, kira-kira pukul 9 malam polis menerima maklumat bahawa perhimpunan itu akan tetap diadakan dengan 250 orang berkumpul di kawasan belakang Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin dan 500 orang lagi di hadapan Hotel Permai Inn.

Katanya, ia menyebabkan polis terpaksa mengambil langkah pencegahan mengadakan sekatan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk dan jalan menuju ke Jalan Sultan Mahmud.

Menurutnya, dalam sekatan itu, polis menahan sebuah bas di Jalan Temasya, Batu Buruk menyebabkan timbul ketegangan sehingga memaksa FRU campur tangan.

Katanya, keadaan semakin meruncing pada kira-kira pukul 10.30 malam sehingga memaksa polis mengeluarkan amaran sebanyak lima kali untuk meminta perusuh bersurai.

Makluman diperoleh daripada beberapa sumber sahih di Terengganu bahawa sekatan jalanraya telah dijalankan seawal 5 petang, BUKAN jam 9.30 malam. Bukan sahaja kereta, malah pejalan kaki pun dihalang daripada masuk ke kawasan ceramah yang menyebabkan aliran pergerakan pengunjung ceramah beralih.

Pertikaian fakta-fakta di atas, meskipun sekadar analisis peribadi saya yang tidak lengkap, menunjukkan memang ini jelas adalah satu provokasi, bukan rusuhan yang dirancang oleh penganjur.

Tetapi kenyataan yang disiarkan oleh Utusan di bawah boleh mencerahkan semua apa yang menjadi motif di sebalik semua ini:

Sementara itu di JITRA, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) memutuskan tidak akan membenarkan sebarang ceramah awam diadakan di tempat terbuka sebelum pilihan raya diadakan.

Katanya, keputusan itu dibuat ekoran kejadian rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu malam semalam yang dipercayai dilakukan oleh pengikut parti pembangkang.

“Langkah itu untuk mengelakkan rusuhan berlaku. Kalau nak buat ceramah, kena buat di tempat tertutup,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Diskusi Ramadan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Maka benarlah apa yang disebut oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim lewat dalam entri terbaru di blog beliau:

Di kebelakangan ini sambutan ceramah KeADILan, PAS dan DAP kian hangat mendapat sambutan. Maka pimpinan umno kian gelabah dan mempersulitkan kelulusan permit ceramah.

Maka kenyataan media Angkatan Muda Keadilan melalui Cikgu Fariz, meskipun sedikit sinis tetapi boleh membuatkan kita mengangguk bersetuju:

Begitu memelikkan, dalam setiap anjuran ceramah dan program parti yang dibenarkan polis, tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini. Sebaliknya setiap kali ada campur tangan polis, akan berlaku huru hara, membuktikan polis melakukan provokasi yang melampau untuk memburukkan imej KeADILan dan pembangkang lainnya!

Difahamkan PAS akan membuat bantahan kepada Suhakam, dan KeADILan akan mengemukakan saman ke atas News Straits Times di atas kesilapan fakta (tidak pasti disengajakan atau tidak) yang mengatakan bahawa ceramah tersebut adalah anjuran KeADILan.

Lapor NST:

KUALA TERENGGANU: The rioters at the Parti Keadilan Rakyat ceramah here on Saturday night caused RM1 million in damage.
State police chief Datuk Ayub Yaakob said 23 people were arrested for rioting in the incident, adding that three were injured along with four policemen.

Tatkala mereka ghairah menyerang, begitu banyak fakta boleh diseleweng dan didedahkan. Ini program Bersih, bukan KeADILan. Tan Sri Khalid dengan tegas menyatakan pendirian parti untuk mengemukakan saman malu.

Sekarang masa anda untuk menilai..

Filed under: Analisa, Kritik, Politik

12 Responses

  1. bumilangit berkata:

    adi, lepas ni PKR akan dinamakan ‘parti keganasan dan rusuhan’ dan semua ahli PKR termasuk DS wan azizah dan nurul izzah adalah anarkis. aku pula dilabel penyokong anarki.

    tahniah adi kerana analisis yg membandingkan utusan dan pandangan BA. harap dapat simplify kan dan dijadikan satu tool (alat bantu mengajar) untuk rakyat memahami cara membaca akhbar dengan betul

    terima kasih sahabat.aku sekadar melakukan analisis amatur.banding beza amat penting agar yang ‘benak’ bisa jadi pintar.

  2. [...] Saifuddin, fresh out of university and Deputy Info Chief to Keadilan Youth has written a long analysis on the [...]

  3. [...] Batu Buruk September 11th, 2007 Batu Buruk ialah tempat pertama saya kenal Terengganu. Damai dan udara nyaman. NGO yang namanya BERSIH pun kini [...]

  4. bobjots : redux berkata:

    Terengganu Incident: So Chaotic Even The Cops Are Confused

    Was it one shot (Malaysiakini), two shots (NST) or four (The Star)? Was the cop who fired the weapon protecting himself or was he protecting women and children (The Star)? Was he attacked with rocks (Utusan Malaysia) or was he…

  5. Adnan M berkata:

    Saya memang bercadang ke Kuala Terengganu pada tarikh rusuhan itu untuk menghadiri perasmian Bulan Bahasa dan Sastera Negara ( BBSN ) di sana. Sayangnya saya membatalkan rancangan ke sana kerana kesemua hotel yang saya biasa menginap telah di penuhi termasuk Park Inn dan Batu Buruk Beach Resort.

    Menurut kaki tangan BB Beach Resort yang menjawab panggilan telefon saya itu, kesemua bilik di hotel itu dipenuhi oleh ahli UMNO bahagian Tanjang Karang yang berkursus di situ.

    Pelik. kenapa perlu orang di Selangor berkursus di Terengganu yang berjam-jam perjalanan jauhnya dan masihkah boleh dianggap secara kebetulan sahaja berlaku rusuhan di sekitar Batu Buruk beach Resort dan Park Inn hotel itu ?

  6. sembang politik berkata:

    Dunia sudah tonggang terbalik, mana satu yang betul pun tak tahu. rakyat dikelirukan lagi dengan dakyah manusia munafik. hanya masa yang menentukan segalanya

  7. ladymariah berkata:

    mereka yang menguasi media di malaysia. mereka salahpun tetap akan dijulang sebagai yang benar.

  8. [...] *Analisis terperinci berkenaan insiden ini boleh didapati di blog saudara Adihamka. [...]

  9. rakyat berkata:

    maaf,

    saya rakyat dari blogzine Republik Kata, ingin meminta maaf kerana saya telah mengambil esei sdr dan menyiarkan di blogzine kami tanpa mintak izin terlebih dahulu..

    maaf,

  10. [...] (i) mesti melepaskan tembakan ke udara terlebih dahulu(ii) sekiranya tidak berkesan, tembakan perlu dihalakan ke paras bawah pinggang, lebih tepat, kaki.(iii) sekiranya masih tidak berkesan, barulah tembakan boleh dihalakan kepada penyerang. (Artikel penuh) [...]

  11. apiz-rage- berkata:

    kamu semua senang nak cakap hentam kerajaan…
    snggup melihat negara menjadi tidak aman…
    kalau lah parti pembangkang perintah malaysia aku percaya hancur impian dam pembagunan rakyat…
    jadikan lah kelantan dan terengganu (sebelum Bn ambk alih) jd role model pembagunan parti pembangkang….

Leave a Reply

Arkib